BREAKING NEWS
latest

728x90

468x60

header-ad

Dua maut langgar belakang lori


BINTULU: Dua pekerja ladang sawit  maut apabila motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di bahu jalan di Batu 26 Jalan Bintulu-Miri, semalam.

Dua lelaki warga Indonesia tersebut  terlibat dalam kejadian kemalangan sekitar jam 8.30 malam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, penunggang Siswandi 33, meninggal dunia  ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu dan rakannya Sutarno, 28, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit berhenti di bahu jalan ketika dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Miri.

"Tiba-tiba sebuah motosikal jenis Modenas yang datang dari arah Bintulu ke Miri telah melanggar bahagian belakang lori terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati kawasan kejadian gelap tidak berlampu, manakala cuaca dalam keadaan baik.

Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit telah dibawa ke balai untuk tindakan pemeriksaan PUSPAKOM.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Vaksin COVID-19 : 55,539 Guru risiko tinggi keutamaan Fasa Pertama


PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pertimbangan untuk memasukkan golongan pendidik dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu dibuat selepas pihaknya menerima senarai daripada Kementerian Pendidikan.

“Kita akan usahakan untuk masukkan guru-guru ke fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu sebelum tarikh pembukaan sekolah,” katanya pada sidang media selepas meninjau simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Kementerian Pendidikan menetapkan sesi persekolahan bersemuka bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua bermula 1 Mac ini manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam dibenarkan hadir ke sekolah pada 8 Mac.

Untuk sekolah menengah pula, sesi pembelajaran bersemuka akan bermula pada 4 April kecuali bagi pelajar Tingkatan Lima yang akan memulakan persekolahan mereka pada 8 Mac.

Mengenai simulasi hari ini, Khairy berkata proses pemberian vaksin oleh Kementerian Kesihatan ke atas seseorang individu akan mengambil masa 15 hingga 30 minit termasuk tempoh pemantauan terhadap penerima suntikan. 

“Ini adalah amalan terbaik dalam memastikan mereka yang menerima vaksin ini selamat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

Tangkap geng ekzos bising


SIBU: Orang ramai meminta polis menangkap 'geng ekzos bising' sekitar bandar utama Sarawak, yang sering menganggu ketenteraman awam.

Ia selepas pengumuman pemilik motosikal yang didapati bersalah mengubah suai ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Jimmy Jonas dari Sibu berkata, dia berharap polis mengambil tindakan segera terhadap pemilik kenderaan yang memasang bunyi ekzos bising.

Menurutnya, tinjauan harus dilakukan di kawasan perumahan kerana ia menganggu ketenteraman awam.

"Di Sibu ni ramai sangat yg ubah ekzos motor/kereta sehingga bunyinya menyakitkan telinga, bingit. Diharap PDRM mengambil tindakan segera.

"Menyirap darah setiap kali diorg ni lalu...terkejut beruk bila mereka melintas kawasan perumahan..geram sungguh!! Semoga dgn adanya hukuman sebegini, keadaan di kawasan2 perumahan akan lebih tenteram," katanya dalam facebook.

Wandy Array berkata, mempersoalkan sama ada jiran perlu dibuat aduan kerana membawa kawan melepak di tengah malam serta menyebabkan kenderaan bising.

"Boleh x mun kita molah report jiran yg selalu rem motor, mlm2 embak geng lepak d rumah molah bising sampey lps tengah malam, sampey anak2 pindah bilit blkng sbb x tahan bunyi bising d depan...,: katanya.

Awang Izarrudin berkata, "Mekorg tido tiap mlm dgr bunyi motosikal meletup2.. Smpey dh lali.. Carik lh ktkorg cdak d jamek ya.. Penohlh jel kelak," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pemilik motosikal juga perlu memastikan ekzos tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.

Menurutnya, polis diberi kuasa untuk menyita motosikal di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan tujuan untuk mengelakkan kesalahan sama berulang.

“Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (dengan penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.

“Pihak polis juga boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mengambil langkah-langkah bagi menjamin kesalahan sama tidak berulang.

“Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend bagi golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal selain mencantikkan fizikal motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan mengikut kaedah berkenaan,” jelasnya.

Katanya, JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan kerjasama jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Menerusi operasi tersebut, motosikal akan diukur paras bunyi ekzos yang dibenarkan dan sekiranya paras bunyi melebih daripada yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan kompaun saman ke atas pemilik motosikal.

“Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Premis Sarawak Energy di Sungai Biawak, Wisma SESCO ditutup

KUCHING: Pejabat Wilayah Kuching Sarawak Energy di Sungai Biawak dan kaunter perkhidmatan pelanggan di Wisma SESCO di Kuching ditutup dengan serta merta sebagai langkah keselamatan setelah tiga pekerja positif COVID-19 pada hari Sabtu lalu.

Sarawak Energy dalam kenyatan berkata, Pejabat Wilayah Kuching akan dibuka semula hari ini (23 Februari) sementara kaunter perkhidmatan pelanggan akan dibuka esok (24 Februari).

"Premis telah ditutup untuk membolehkan pembersihan dan pengasapan.

"Penjejakan kenalan telah dimulakan dan kenalan rapat akan menjalani ujian swab dan kuarantin diri untuk memastikan pengekangan dan keselamatan keluarga," katanya.

Beliau berkata, kakitangan syarikat akan beroperasi sama ada dari rumah atau dari tempat kerja alternatif sebagai sebahagian daripada rancangan kesinambungan perniagaan Sarawak Energy.

Menurutnya, Sarawak Energy akan terus bekerjasama dan membantu pihak berkuasa untuk mengesan kontak.

"Pembersihan dan pengasapan awal telah dilakukan di kaunter Wilayah Kuching pada hari Sabtu (20 Februari) dan Ahad (21 Februari) di Wisma SESCO.

"Pembersihan lanjut akan dilakukan sekiranya difikirkan perlu," katanya.

Beliau menambah, Kedua-dua premis hanya akan dibuka semula setelah semua langkah pencegahan yang diperlukan telah diambil untuk memastikan premis tersebut selamat.

Pelanggan di Kuching boleh memilih untuk pergi ke kaunter perkhidmatan Sarawak Energy di Saradise atau menggunakan perkhidmatan dalam talian yang tersedia dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 1300 88 3111, menghantar e-mel ke customercare@sarawakenergy.com atau melalui aplikasi mudah alih Sarawak Energy 'SEB cares' yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store atau melalui https://sebcares.sarawakenergy.com.my.