BREAKING NEWS
latest

728x90

468x60

header-ad
Showing posts with label Kolumnis. Show all posts
Showing posts with label Kolumnis. Show all posts

Kenapa jimat cermat di Sarawak sahaja?



Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

BAGI Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kos pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sebanyak RM21.857 bilion melalui model Rakan Pelaksana Projek (PDP) adalah mahal dan perlu dijimatkan.

Maka model PDP ditamatkan dan kerajaan mendabik dada mendakwa berjaya menjimatkan RM2.865 bilion. 

Bagaimanapun di sebalik kejayaan itu, ada kisah dukanya. Kira-kira 500 staf syarikat PDP iaitu Lebuhraya Borneo Utara (LBU) menjadi korban hilang pekerjaan.

Secara prinsip, penjimatan adalah sesuatu yang baik dan perlu diperluaskan oleh kerajaan, bukannya terhenti di Pan Borneo Sarawak sahaja.

Salah satu projek yang wajar dipertimbangkan untuk penjimatan ialah Lebuhraya-Pan Island Link 1 (PIL 1) di negeri yang dikuasai DAP iaitu Pulau Pinang. 

Ia merupakan lebuh raya yang paling mahal dalam sejarah Malaysia dengan kos RM7.5 bilion hanya untuk jarak sejauh 19.5 km. Dengan kata lain kos setiap kilometer lebuh raya itu ialah RM385 juta.

Sebagai perbandingan, kos asal Pan Borneo Sarawak sebanyak RM21.857 bilion adalah bagi jarak 786 km dari Telok Melano ke Miri. Jarak itu kurang sedikit daripada Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 847 km yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam dan Johor Bharu.

Kos PIL 1 itu juga adalah 140 peratus lebih mahal daripada Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) yang pernah dirancang di Selangor tetapi dibatalkan akibat bantahan banyak pihak termasuk wakil-wakil rakyat DAP.

Yeo Bee Yin (kini Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) pada 2014 menulis dalam lidah rasmi DAP, The Rocket bahawa KIDEX dengan kos RM2.4 bilion atau RM161 juta bagi setiap kilometer adalah lebuh raya paling mahal di Malaysia.   

Tetapi dalam kes PIL 1, tidak pula Bee Yin membuat bising. Bukan sahaja kosnya berkali-kali ganda lebih tinggi tetapi turut merosakkan alam sekitar yang berkait dengan portfolionya sekarang.

Projek PIL 1 bukan sekadar membelah bukit bukau di Pulau Pinang yang telah pun banyak ditarah atas nama pembangunan tetapi turut dibiayai oleh hasil penjualan pulau buatan yang bakal diwujudkan melalui projek Penang South Reclamation (PSR).

PSR merupakan projek menebus guna 4,500 ekar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Ia bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai Rancangan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang mana PIL 1 adalah salah satu daripada komponennya.

PTMP yang turut digerakkan oleh Guan Eng sewaktu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang turut dilaksanakan dengan konsep PDP sebagaimana Pan Borneo Sarawak. 

Timbul persoalan, adakah model PDP hanya tidak sesuai untuk projek mega di Sarawak tetapi masih relevan untuk melaksanakan PTMP. 

Berbalik kepada PSR, pelbagai NGO sudah menyuarakan bantahan kerana tiga pulau berkenaan akan mendatangkan 'bala' kepada alam sekitar dan ekosistem.

Ia dilihat akan 'membunuh' komuniti nelayan pesisir pantai yang sememangnya sudah berdepan dengan pelbagai kesan negatif akibat projek tambak laut terdahulu.

PSR akan menyebabkan kawasan penangkapan hasil laut seperti ikan, ketam dan udang ditambak menyebabkan nelayan harus pergi lebih jauh.

Ini menyebabkan kos minyak dan masa menangkap ikan akan bertambah yang akhirnya mendorong kepada kenaikan harga sumber protein itu.

Nelayan yang terjejas pula tidak hanya di Pulau Pinang tetapi turut mencakupi kawasan Utara Perak dengan jumlah keseluruhannya dianggar melebihi 10,000 orang.

Ini kerana PRS memerlukan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan daerah Manjung hingga Kerian, Perak.

Perlombongan pasir itu akan menyebabkan hakisan teruk di pesisir pantai, sekali gus menjejaskan kawasan hutan paya bakau. 

Selain itu, aktiviti berkenaan turut menyebabkan wujudnya kawah besar di dasar laut, selain menjejaskan kawasan terumbu karang yang menjadi lokasi pembiakan ikan.

Begitulah sedikit gambaran kemusnahan alam dan kesan negatif kepada nelayan gara-gara mahu mewujudkan tiga pulau buatan bagi membiayai PTMP.

Tanah di tiga pulau itu pula akan dibangunkan antaranya sebagai kawasan komersial dan perumahan yang pastinya tidak mampu dimiliki majoriti penduduk tempatan.

Inikah sikap kerajaan yang prihatin, rakyat sendiri 'dibunuh' untuk menguntungkan orang asing. Barangkali dari Singapura, Taiwan atau negara mana sekalipun...

------------------------
*SAIFUL HAIZAN HASAM merupakan bekas Editor di sebuah akhbar nasional yang pernah memenangi dua Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 bagi kategori Laporan Berita Terbaik dan Laporan Alam Sekitar Terbaik.


Gambar ihsan Pan Borneo Sarawak Facebook

Chong Chieng Jen ibarat meludah ke langit

Chong Chieng Jen
KUCHING – Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menyelar Kerajaan Sarawak sebagai tidak memberikan keutamaan kepada sekolah daif adalah tidak wajar sama sekali malah ibarat “meludah ke langit”.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof berkata, projek sekolah daif di Sarawak tertangguh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila bajet asal yang diluluskan tidak diteruskan kerajaan PH.
“Dalam soal ini dan apabila projek demi projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak tidak diteruskan, apakah Chieng Jen dan PH Sarawak pernah bersuara untuk mempertahankan hak Sarawak? Langsung tidak.
“Chong hanya akan muncul bersuara untuk mempolitikkan apa juga isu demi kepentingan diri dan parti, tindakan yang seolah-olah meletakkan diri mereka masih lagi pembangkang di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, untuk rekod, kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung.
“Pada 2018 (sebelum PRU-14) Kerajaan sebelumnya menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaikpulih sekolah daif di Sarawak serta berbaki RM581 juta lagi peruntukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, tindakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, lantang bersuara dalam memperjuangkan hak Sarawak termasuk meminta projek pembinaan dan membaikpulih sekolah daif disegerakan adalah kerana beliau mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri ini.
“Malah Kerajaan Negeri Sarawak sanggup mematuhi setiap syarat yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meneruskan projek itu, walaupun hakikatnya jelas termaktub dalam Perlembagaan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Negeri Sarawak juga dapat dilihat apabila kita menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan segera, selepas peruntukan asal bagi tujuan itu yang diluluskan kerajaan sebelumnya, ditarik balik kerajaan baharu,” ujarnya.
Beliau berkata, selepas itu Kerajaan Persekutuan meletakkan empat syarat termasuk kontra pembayaran balik RM1 bilion hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, dengan pembayaran pertama RM350 juta, yang sudah pun dibayar oleh Sarawak.

Sambutan Hari Malaysia 2019 : Guna Pengangkutan Awam

ACP Awang Din Awang Gani
KUCHING – Orang awam yang mahu hadir dan menyaksikan Sambutan Hari Malaysia 2019 di Padang Merdeka nanti disaran menggunakan pengangkutan awam seperti bas, teksi, grab, mycar dan sebagainya agar melancarkan lagi pergerakan mereka.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, dianggarkan seramai 10,000 orang akan hadir daripada pelbagai jabatan dan institusi yang dijemput tidak termasuk pengunjung dan pelancong di sekitar bandar ini.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan program berjalan lancar Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Kuching melaksanakan penutupan dan lencongan jalan di sekitar lokasi sambutan.

“Penutupan dan lencongan jalan di sekitar lokasi akan bermula pada pukul 4 petang sehingga majlis selesai.

“Jalan yang terlibat ialah Jalan Gambier (Tandas awam); lencongan Jalan Gambier ke Main Bazaar; Jalan Wawasan; Jalan Main Bazaar dari arah Jalan Lebuh Wayang; Jalan Lebuh Wayang dari arah Jalan Ban Hock (St. Mary); Susur Jalan Mcdougall dari arah Jalan Ban Hock dan Jalan Lampu Isyarat RTM ke Padang Merdeka,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Sambutan itu akan dihadiri TYT Dipertua Negeri Sarawak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan lain-lain kenamaan seluruh Malaysia serta duta-duta negara sahabat.

Tambah Awang, orang awam yang menggunakan kenderaan persendirian juga dinasihatkan parkir di tempat berikut iaitu Medan Pelita; Bangunan Saujana; Kawasan Terbuka Baitulmal; Panggung Udara; Reservoir Park; Gereja St. Thomas; Dewan Suarah dan Bulatan Padang Pasir.
“Pada 12, 13 dan 14 September ini akan diadakan raptai dengan penutupan dan lencongan dibuat bermula 7 malam hingga selesai.

“Pada 10 dan 11 September juga diadakan raptai khas oleh Majlis Seni dengan beberapa jalan ke kawasan lokasi akan ditutup bermula 10 malam,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan penguatkuasaan akam diambil kepada sesiapa yang mengingkari arahan pegawai polis yang bertugas.

“Kerjasama semua pihak amat diharapkan melancarkan majlis sambutan ini.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ketua BSPT IPD Kuching di talian 082-221127 atau 082-221129 pada waktu pejabat 8 pagi -5 petang,” ujarnya.

Saddiq Buat U Turn Paling Teruk, Aziz Isa

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
KUCHING – Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik dianggap ‘u-turn’ paling teruk dalam sejarah politik Malaysia.

Setiuasaha Publisiti Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Sarawak Abdul Aziz Isa berkata, malah kenyataan tersebut menunjukkan bahawa Syed Saddiq mempunyai kekurangan prinsip dan integriti moral.

“Beliau sebelum ini tegas mengutuk kenyataan Dr Zakir Naik yang menggangap kaum Cina di Malaysia sebagai tetamu.

“Malah beliau mengeluarkan kenyataan ‘heroik’ untuk menyokong rakan menteri yang lain, Gobind Singh Deo, M Kulasegaran dan Dr Xavier Jayakumar dalam kabinet untuk mengusir Dr Zakir.

“Malangnya, kenyataannya ‘heroik’ menjadi ‘anti-klimaks’ kerana ia tidak bertahan lama.

“Dalam masa sepuluh hari selepas menggesa supya Zakir dihantar pulang ke India, beliau menjemput Zakir makan malam di rumahnya,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, beliau tidak menyangkal ada beberapa ahli politik membuat ‘U-turns’ dalam kerjaya politik mereka kerana sebab-sebab tertentu tetapi dalam kes Syed Saddiq dengan Zakir Naik, ini adalah ‘U-turn’ paling buruk dalam sejarah politik Malaysia.

“Apakah mesej yang dia cuba hantar kepada orang ramai?

“Jangan beritahu saya bahawa Syed Saddiq ini menderita demensia pada peringkat awal.

“Keputusannya ini menunjukkan beliau kekurangan prinsip dan integriti moral.

“Saya bimbang jika dia kekal berkelakuan sedemikan, para belia akan mula merasa jijik dan bosan dengan kepimpinan Pakatan Harapan,” tambahnya.

Abdul Aziz berkata, apa yang yang lebih teruk, tanpa rasa malu, Syed Saddiq menyertakan bersama gambar beliau duduk semeja bersama pendakwah itu di Instagram dengan kenyataan ‘Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang bebas dari melakukan kesilapan. Dr Zakir Naik sudah minta maaf.

Syed Saddiq dalam kenyataan tersebut juga berkata: ‘Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi.

“Tidak perlu menghina dan menghina. Let’s move on, negara memerlukan penyembuhan “, katanya di Instagram.

Abdul Aziz berkata, untuk menjadikan Malaysia hebat sekali lagi, sudah tiba masanya golongan belia Malaysia berdiri sebagai satu suara.

“Negara memerlukan pemimpin muda yang progresif dan sederhana.

“Kita tidak memerlukan pemimpin belia yang kan ‘ultraconservative’ yang dimiliki oleh masa lalu. Atau, kita tidak akan melihat perubahan dalam seumur hidup kita,”katanya.

Tiada Royalti? Hentikan Pam Minyak Kami

Dr Jeffrey Kitingan.
KOTA KINABALU: “Petronas dan syarikat minyak yang lain patut berhenti mengepam minyak di Sabah sekiranya mereka tidak mahu membayar 20 peratus royalti minyak yang diminta oleh negeri dan dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah) merangkap Ahli Parlimen Keningau, Dr Jeffrey Kitingan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah tidak dapat dilaksanakan walaupun sudah yang diumumkan Julai tahun lalu kerajaan Persekutuan akan membayar 20 peratus royalti.

PM dan kerajaan PH seperti tidak dapat memberikan apa-apa melainkan alasan demi alasan. Bermacam alasan tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya mencetuskan lebih banyak ketidakpuasan, rasa tidak puas hati dan kemarahan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Para pemimpin Kuala Lumpur suka memberikan janji dan harapan palsu kepada rakyat Sabah dan Sarawak demi meraih sokongan mereka. Sebaik sahaja mereka mendapat apa yang mereka mahu, mereka akan melupakan anda. Inilah kisah Sabah di Malaysia.

Kami di Sabah dan Sarawak sentiasa rugi. Kami terlalu naif, terlalu bagus dan terlalu bertolak ansur.

Para pemimpin Sabah dan mereka yang berada dalam kerajaan membenarkan diri mereka dilacurkan, disalahgunakan dan dieksploitasi, namun setelah itu, mereka akan tunduk, mencium tangan mereka dan memberi salam kepada mereka.

“Satu perkara menghairankan kerajaan Sabah tidak mampu untuk menegakkan hak Sabah dan tidak dapat memperoleh apa yang terbaik untuk Sabah,” tambah Dr Jeffrey.

“Kerajaan Persekutuan yang berdasarkan sentrik Melayu tidak sepatutnya membuat janji yang tidak dapat ditepati”, kata Dr Jeffrey, ‘tetapi pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur banyak menabur janji dan jaminan walaupun semasa pembentukan Malaysia, pun mereka tidak tunaikan malah selepas 55 tahun!”

Sudah tiba masanya orang Sabah belajar untuk tidak mempercayai pemimpin-pemimpin ini lagi demi kebaikan mereka sendiri.

Pemimpin-pemimpin kerajaan Sabah mesti berpendirian tegas dan berkata “cukup cukuplah!”. Jika tidak, lebih baik mereka meletak jawatan kerana tidak memainkan peranan dan mampu menjaga kepentingan Sabah dan rakyat Sabah.

Royalti minyak 20% mesti dibayar seperti yang dijanjikan.

Membayar royalti minyak 20% tidak akan membuat Petronas muflis kerana sebenarnya ia hanya perlu menghasilkan 10% lagi. 5% yang lain boleh datang dari pembayaran tunai, royalti 5% yang dibayar kepada kerajaan Persekutuan, yang tidak sepatutnya dibayar royalti kerana bukan pemilik sumber.

Alternatifnya adalah untuk membayar keuntungan Petronas kepada negeri pengeluar minyak memandangkan kerajaan persekutuan sudah mengumpul cukai pendapatan petroleum dari Petronas dan syarikat minyak antarabangsa.

Petronas menyumbang kira-kira RM60 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan dan jika ia berkurangan untuk membayar 20 royalti minyak kepada empat negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, dan Terengganu, maka mereka perlu belajar berbelanja dengan berhemah dan tidak menyalahgunakan apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah dan Sarawak.

Semasa pembayaran royalti minyak sedang dibincangkan, Kerajaan Persekutuan dan Sabah harus segera berunding untuk memulangkan hak pemilikan minyak dan gas. Tidak ada legitimasi untuk Petronas dan Kerajaan Persekutuan untuk terus memegang minyak dan gas Sabah dan Sarawak dan “merompak” hasil sumber minyak dan gas yang keluar dari Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Persekutuan dan Sabah pada masa itu perlu sedar bahawa apabila Sabah dan Sarawak tidak lagi berada di Malaysia, pemilikan sumber minyak dan gas adalah milik negeri masing-masing.

Menidakkan pemberikan 20% royalti minyak dan pendapatan bersih 40% walaupun Sabah berhak mengikut Perlembagaan dan mengekalkan sumber minyak dan gas Sabah pastinya bertentangan dengan visi Pakatan Harapan iaitu “Berkongsi Kemakmuran” bagi semua rakyat Malaysia. Melainkan rakyat Sabah hanya dianggap penduduk koloni bukan rakyat Malaysia!