BREAKING NEWS
latest

728x90

468x60

header-ad
Showing posts with label Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Bisnes. Show all posts

Petronas umum penemuan gas di Baram

Gambar Petronas 


KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengumumkan penemuan gas daripada penerokaan telaga “wildcat” Dokong-1 di Blok SK417 Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) yang terletak di perairan cetek Wilayah Baram, kira-kira 90 kilometer di luar pantai Sarawak.

Anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 20 peratus dalam Blok SK417 PSC manakala pengendalinya, PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) menerusi anak syarikat milik penuhnya PTTEP HK Offshore Ltd, mempunyai kepentingan penyertaan sebanyak 80 peratus.

PSC berkenaan ditandatangani pada Mac 2018 berikutan Pusingan Bidaan Malaysia 2017.

“Penerokaan telaga Dokong-1 merupakan satu daripada beberapa kejayaan Malaysia baru-baru ini dalam aktiviti penerokaan.

“Penjanaan keuntungan daripada penemuan gas di Wilayah Baram dapat disokong melalui infrastruktur sedia ada dan akan menyumbang kepada aspirasi PETRONAS dalam menyampaikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, stabil dan bersih kepada pasaran global dan domestik,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum PETRONAS Mohamed Firouz Asnan.

Beliau berkata penemuan Dokong-1 memberikan semangat baharu kepada keseluruhan landskap penerokaan di Wilayah Baram dan memperkukuhkan peranan rangkaian bekalan gas Baram sebagai sebahagian daripada sistem gas Sarawak yang lebih luas.

“PETRONAS, bersama-sama pihak PSC ketika ini sedang melaksanakan penilaian selanjutnya untuk menentukan had sepenuhnya penemuan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penerokaan telaga “wildcat” Dokong-1 berjaya digerudi sehingga jumlah kedalaman 3,810 meter pada pertengahan Januari 2021.

“Penemuan ruang gas berukuran melebihi 80 meter di takungan Middle to Late Miocene Kitaran VI-VII mengesahkan lagi potensi prospek yang berbaki di Wilayah Baram.

“Penemuan gas bebas pencemaran di Dokong-1 turut membuktikan kewujudan lebih banyak peluang gas di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, PETRONAS akan menawarkan empat blok perairan cetek di Sarawak sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2021 yang akan bermula pada 26 Februari 2021.


Telaga gas baharu di perairan Sarawak hasilkan 50 juta kaki padu sehari

KUCHING: Petronas menempa satu lagi kejayaan melalui penemuan gas hasil penerokaan telaga penilaian Lang Lebah-2 di Blok SK410B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), yang terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari perairan Sarawak.

PTTEP HK Offshore Limited adalah pengendali untuk Blok SK410B yang bekerjasama dengan KUFPEC Malaysia (SK-410B) Limited dan Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat Petronas.

Blok SK410B dinaiktaraf dalam Pusingan Tawaran Malaysia 2015, dengan PSC ditandatangani pada bulan Julai 2016.

Eksplorasi telaga The Lang Lebah-2 berjaya digerudi hingga kedalaman 4,320 meter pada pertengahan Januari 2021 dengan lebih 600 meter gas bersih yang terbukti.

Telaga ini sudah diuji dan mengalirkan 50 juta kaki padu gas setiap hari serta mengandungi sejumlah gas yang banyak. 

Ini adalah pengujian penilaian untuk mengesahkan potensi kenaikan dan mempercepatkan program pembangunan.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, penemuan yang luar biasa itu menjadi testimoni terhadap lembangan Malaysia yang sangat prolifik dan menunjukkan potensi penerokaan yang belum dimanfaatkan, seperti yang dapat disaksikan dalam lembangan kelas dunia di luar pesisir Malaysia.

"Pencapaian ini menandakan peristiwa penting bagi pihak PSC dalam pada mereka terus membuat penemuan di Wilayah Luconia Tengah.

"Pada 2019, PETRONAS dan rakan-rakannya berjaya menggerudi penemuan gas yang mempunyai nilai komersial melalui telaga penerokaan pertama, Lang Lebah-1RDR2 dan kini sedang bersiap untuk pembangunan lapangan," katanya.

SALCRA bonus RM33.7 juta

KUCHING, 26 Jan: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah meluluskan Bayaran Lebihan Bersih (NPP) bagi tahun 2020 berjumlah RM33.7 juta kepada seramai 12, 994 pesertanya.

Dalam kenyataan media SALCRA hari ini mendedahkan mesyuarat lembaga itu meluluskan bayaran itu yang akan dibuat dua kali dengan bayaran pertama berjumlah RM16.8 juta atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang akan dikreditkan kepada peserta yang layak pada penghujung Januari 2021.

"Manakala baki selebihnya akan dikreditkan pada bulan Julai nanti,"menurut SALCRA.

Lembaga itu berkata jumlah Bayaran Untung Bersih pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 234 peratus berbanding dengan jumlah Bayaran Untung Bersih pada tahun 2019 sebanyak RM10.1 juta.

Dengan peningkatan bayaran ini, jumlah peserta yang layak menerima Bayaran Untung Bersih atau Dividen pada tahun 2020 juga turut meningkat sebanyak 27 peratus berbanding dengan jumlah peserta yang layak pada tahun sebelumnya.

"Pembayaran Lebihan Bersih bagi tahun 2020 dipengaruhi oleh harga pasaran minyak sawit, pandemik COVID-19, bilangan tenaga kerja dan cuaca," menurut kenyataan itu.

SALCRA berkata harga pasaran minyak sawit pada 2020 rendah pada pertengahan pertama dan hanya menjangkau paras RM3,000 satu tan pada bulan September.

Namun demikian, pandemik COVID-19 telah mengugat operasi ladang kerana kemasukan para penuai yang majoritinya dari negara asing disekat.

"Disamping itu tahun 2020 juga mengalami hujan yang tinggi jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Faktor-faktor ini telah mempengaruhi penghasilan atau pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS),"tambah SALCRA.

Selain itu, kawasan ladang yang matang juga berkurangan iaitu hanya 28,690 hektar disebabkan oleh penanaman semula dan dari jumlah kawasan matang terbabit, sebanyak 5, 205 hektar adalah kawasan matang muda (young mature) dan 9,639 hektar matang tua (Old Mature).

SALCRA mendedahkan bagi prestasi penghasilan ladang keseluruhan, sebanyak 14 peratus daripada kawasan matang mengeluarkan hasil lebih 20 tan metrik sehektar dan 25 peratus mengeluarkan hasil diantara 15 hingga 18 tan metrik sehektar.

Selebihnya iaitu 61 peratus mengeluarkan hasil dibawah 15 tan metrik sehektar dengan kebanyakannya di kawasan matang muda dan yang akan ditanam semula.

"SALCRA yakin bahawa produktiviti ladang-ladangnya akan meningkat pada tahun ini dan berharap harga asaran minyak sawit kekal tinggi dan pandemik COVID-19 dapat diurus supaya operasi ladang berjalan lancar," menurut lembaga itu.

Untuk para peserta ladang SALCRA yang ingin penerangan yang lebih lanjut sila hubungi Henry Daris, Rufina Suet, Rimong Riyu di Jabatan Pembangunan Peserta SALCRA di 082-621923 pada waktu pejabat.

PETRONAS Carigali ambil alih hab gas E11 di Bintulu

 
KUCHING: PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) mengambil alih pengendalian hab gas E11, yang terletak sejauh 130 kilometer luar pesisir Bintulu, Sarawak, berkuat kuasa 1 Januari 2021.

Hab E11 yang dihasilkan sejak 1982 di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran MLNG, dikendalikan oleh Sarawak Shell Bhd (SSB) selama 38 tahun yang lalu.

Naib Presiden Aset Malaysia PETRONAS, Bacho Pilong, berkata PETRONAS berterima kasih kepada SSB kerana mengendalikan hab gas E11 dengan cara yang cekap dan bertanggungjawab selama lebih tiga dekad.

Beliau berkata, SSB dan PETRONAS sudah melaksanakan semua aktiviti yang diperlukan sejak Julai 2019 bagi memastikan penyerahan hab E11 lancar.

"Hari ini menandakan pencapaian penting bagi PCSB sebagai pengendali hab E11 yang sangat penting dalam memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, stabil dan bersih ke dalam pasaran, sambil terus membangunkan Sarawak sebagai hab gas serantau," katanya dalam satu kenyataan.

Acara untuk memperingati penyerahan itu diadakan di Pejabat Utama SSB di Lutong, Sarawak pada 31 Disember 2020.

Tanda simbolik disampaikan kepada SSB oleh Pengurus Besar Kanan, Bahagian Gas Sarawak PCSB, Peter Majid.

SSB diwakili oleh Pengurus Besar Aset Sarawak, Jill Chieng.

Covid-19, ujian getir kontraktor kecil


KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Kerajaan amat peka kepada impak serta kesan yang dihadapi oleh para kontraktor, kesan daripada penularan pandemik COVID-19. 

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau percaya kontraktor-kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik, tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan projek-projek daripada sektor swasta.

Beliau, bagaimanapun menyeru Kontraktor Melayu dan Bumiputera perlu sentiasa meningkatkan kapasiti dan kemampuan supaya berupaya membida serta melaksanakan projek-projek swasta, agar tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan.

“Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telahpun memperuntukkan sejumlah RM15 billion bagi meningkatkan perlaksanaan projek-projek infrastruktur,” katanya.

“Jika dilihat kepada peruntukan kerajaan untuk projek-projek mega, biarpun kontraktor utama dipilih dalam kalangan kontraktor besar kategori G7 (keupayaan tawaran tender tiada had), namun kontraktor-kontraktor kecil masih berpeluang untuk bersaing, mendapatkan kerja-kerja subkontraktor di bawah projek-projek mega itu.

“Saya amat berharap kontraktor Bumiputera terus berusaha, berinisiatif dan berdaya saing merebut semua peluang sedia ada. Kontraktor Bumiputera perlu lebih proaktif dan bersiap sedia dalam kebiasaan baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, secara dalam talian di sini hari ini.

Fadillah berkata, dalam dunia perniagaan, kontraktor mestilah mengenal pasti peluang sepanjang masa dan peluang berniaga di Malaysia adalah amat luas. 

Kata beliau, para kontraktor tidak harus memasuki hanya bidang yang sudah padat atau yang tertentu sahaja, sebaliknya perlu lebih inovatif dan berani meneroka bidang-bidang baharu.

“Negara kita kini memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran positif, strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan, bagi menghadapi persaingan global.

“Di sinilah kontraktor-kontraktor berperanan mempelbagaikan kegiatan mereka. Sebagai contoh, dalam bidang teknologi pertanian, petroleum dan gas, teknologi maklumat dan multimedia,” katanya.

Beliau berkata penggiat industri pembinaan adalah tonggak kepada pembangunan fizikal negara.

“Industri pembinaan juga adalah pemangkin pembangunan sektor ekonomi lain berdasarkan kepada kesan pengganda sebanyak 2.03 kali. Ini bermakna, setiap RM1 yang dibelanjakan di dalam industri pembinaan akan mendapat hasil RM2 dalam sektor ekonomi yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata sebanyak 120 industri bergantung kepada industri pembinaan, yang antaranya pembuatan bahan binaan, pembekal logistik, pemaju dan pengurusan fasiliti.

Sementara itu, menurutnya, sektor pembinaan juga amat penting kerana ia menggajikan seramai 15.5 peratus daripada 8.5 juta tenaga kerja negara.

-- BERNAMA

 


CEO Rimbunan Hijau meninggal dunia

SIBU: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rimbunan Hijau dan Pengerusi Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad 
Dato 'Sri Kenny Tiong meninggal dunia pagi tadi.

Anak kedua Tan Sri Tiong Hiew King itu rebah di pejabatnya di Jalan Lanang, di sini, jam 10 pagi. 

Dia dikejarkan ke pusat perubatan swasta dan disahkan meninggal dunia.

Rakan-rakan memberitahu mendiang bermain golf dengan mereka semalam dan mengadu keletihan.

Gunting rambut ukiran Dayak

Gunting rambut ukiran Dayak

KOTA SAMARAHAN: Kedai gunting Da Di Du Borneo Haircut menawarkan potongan rambut dengan motif seperti ukiran Dayak kepada pelanggan di premisnya berhampiran pusat beli belah Aiman Mall, Desa Ilmu.  

Menurut tukang gunting kedai, Luis Lanie, 23, mereka menawarkan potongan rambut yang kreatif pada harga antara RM20 sehingga RM30 seorang sempena perayaan Krismas ini.

Luis berkata, ilham membuat potongan rambut terbabit muncul setelah beliau meminta majikannya memotong rambutnya dengan menarik sebelum bercuti dan pulang ke rumah panjang di Betong 24 Disember depan.

"Majikan saya, Iszuan Abdullah yang juga seorang pengajar guntingan rambut, kemudian telah memotong rambut saya dengan motif seperti ukiran Dayak," menurut Luis.

Katanya selain mengunakan gunting biasa, mereka perlu mengunakan marker dan mata pisau kecil yang cukup tajam bagi membuat potongan rambut .

 "Sekiranya ada yang mahu potongan rambut unik seperti saya sempena Krismas ini, mereka boleh ke kedai gunting kami," ujarnya sambil menambah, potongan rambut terbabit boleh mengambil masa satu jam setengah untuk disiapkan.

Sentuhan kraf tangan Abot, Sandra tembusi Asia Pasifik

KUCHING: Dua artis, Abot Gudang dan Sandra Trinata menerima Anugerah Kraf Terbaik pada Majlis Perhimpunan Dewan Kraf Dunia Asia Pasifik ke-39 secara dalam talian di Tashkent, Uzbekistan.

Kedua-dua pereka kraf tersebut memenangi anugerah menerusi hasil kraf tangan anyaman tikar bertemakan 'The Glow Tree of Life'.
Daripada 50 penyertaan dari pelbagai negara-negara Asia Pasifik hanya 18 orang sahaja yang menerima Anugerah kraf Terbaik.
Kedua-dua mereka akan diberi anugerah kecemerlangan oleh Kerajaan Sarawak kerana telah mengharumkan nama negara.
Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah berkata, Abot satu-satunya rakyat Malaysia yang mendapat anugerah tersebut.
"Saya amat berbangga dengan beliau walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, beliau terus komited menghasilkan karya-karya yang menarik dengan kerjasama penenun tikar gelasah dari Serikin yang diketuai oleh Sandra Trinata," katanya.
Karim berkata, kejayaan tersebut memberi pendedahan kepada pelancong asing tentang kekayaan dan kepelbagaian seni di Sarawak sekali gus menjadi tarikan pelawat pada masa akan datang.

Belanjawan 2021 lulus

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Terdahulu, cubaan ahli Parlimen blok pembangkang untuk menggagalkan rang undang-undang tersebut ketika selesai penggulungan peringkat jawatankuasa, juga tidak berhasil apabila undi bahagian menyaksikan keputusan sama.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 Nov lepas. 

Pada peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan proses undi belah bahagian sebelum diluluskan iaitu Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Wilayah Persekutuan; dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut melalui proses undi belah bahagian ialah Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia. 

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan tersebut, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. 

-- BERNAMA

Sumber baharu minyak, S'wak terokai Beting Serupai - Abang Jo

Beting Serupai (James Shoal) kredit infografik Jeffery Kitingan

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk meneroka Beting Serupai (James Shoal) di Bintulu, yang dipercayai mempunyai sunber hasil minyak sebanyak 93 bilion tong.

Menurutnya, James Shoal yang turut dikenali sebagai Beting Serupai yang terletak kira-kira 83 kilometer barat laut Bintulu serta mempunyai potensi hasil bumi apabila para saintis telah mengkajinya.

Katanya, penemuan mengenai potensi beting berkenaan dibuat oleh saintis luar negara, yang diterbitkan dalam sebuah buku.

"Sama ada sudah diteroka atau belum, James Shoal merupakan kawasan yang berpotensi hasil sumber asli. Saya tidak tahu dan tidak ada maklumat lanjut, saya cuma baca daripada buku. Jadi kita lihat keadaan dahulu macam mana (untuk meneroka James Shoal)," katanya selepas menyempurnakan pelancaran Majlis Pecah Tanah Wisma Melayu Sarawak, semalam.

Terdahulu dalam ucapan, Abang Johari memberitahu mengetahui mengenai potensi Beting Serupai itu menerusi sebuah buku yang dibacanya.

"Jadi saya tengok peta Google, James Shoal rupa-rupanya dekat Bintulu.

"Inu bermakna kita hendaklah pandai mengurus dan mentadbir sumber di negeri kita, bukan sahaja di Bintulu tetapi juga sampai ke Balingian, dari utara sehingga ke kepulauan Natuna tidak jauh dari Lundu," katanya.

Beting Serupai merupakan sebuah beting di Laut China Selatan dengan kedalaman 22 meter (72 kaki). 

Meskipun terletak 45 batu nautika dari perairan Bintulu di Laut China Selatan, China telah membuat tuntutan ke atas beting tersebut berdasarkan dalam tuntutan ‘9-Dash line'.

Beting ini terletak 80 kilometer (50 batu) dari barat laut Bintulu dan 1,800 kilometer dari tanah besar China. 

Di kawasan perairan Beting Serupai mempunyai telaga petroleum milik Malaysia.

Hasidah jelaskan Penyelesaian Komersial


KUCHING: Petroleum Sarawak (Petros) akan mendapat manfaat menerusi Perjanjian Penyelesaian Komersial di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak yang ditandatangani pada 7 Disember lalu.

 Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, antara yang Petros dapat menerusi perjanjian tersebut ialah mengurus, mengawal dan menjalankan semua Operasi Petroleum yang berkaitan dengan penerokaan, eksploitasi, mendapat perolehan Petroleum  di daratan Sarawak (Onshore) 

Menurutnya, syarikat mnyak milik Sarawak tersebut juga mempunyai penyertaan ekuiti dalam penjelajahan dan pengeluaran Petroleum bersama Petronas di Offshore (di Laut) 

Selain itu katanya, Petros juga mempunyai pelaburan ekuiti tambahan dalam MLNG Sdn Bhd dan MLNG Dua Sdn Bhd dengan peraturan komersial yang boleh diterima, dan dengan terma dan syarat yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua belah pihak.

"Petros juga akan membentuk dan melaksanakan Pelan Induk Gas yang komprehensif untuk negeri Sarawak. 

"Selain itu, syarikat anak-anak Sarawak dan anak Sarawak akan terus dapat menyertai program vendor  Petronas yang  sedia ada dan terlibat dengan lebih aktif lagi dalam industri Petroleum di Sarawak," katanya menerusi facebook.

Hashidah berkata, semua perkara tersebut adalah perkara asas yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak termaktub dengan jelas dalam perjanjian yang telah ditandatangani.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, biar masa yang menentukan mengenai Perjanjian Komersial  bersama Petronas.

"Tak perlu nak berjawab atau berdebat dengan siapa," katanya ketika menggulas kenyataan pihak pembangkang menyatakan Perjanjian Penyelesaian Komersial di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak seolah-olah tidak menyokong Sarawak.

Sarawak-Petronas buka lembaran baharu industri minyak gas



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan persetujuan antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri tersebut melalui sebuah perjanjian komersial.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, erjanjian berkenaan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan pembangunan industri minyak dan gas sekali gus memberi pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri berkaitan di negeri itu.
Menurutnya, persetujuan turut dicapai sebelum ini melalui pengenalan cukai jualan petroleum di negeri tersebut sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri Sarawak memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) iaitu anak syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.




“Selain itu, ia bakal membuka peluang lebih luas kepada syarikat-syarikat industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh selaras dengan undang-undang negara.




Katanya, persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial itu melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.




“Selain itu ia memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya.
Gambar ihsan Bernama

S'wak sumbang 60 peratus gas asli, 25 peratus minyak negara


KUALA LUMPUR: Sarawak menyumbang lebih daripada 60 peratus pengeluaran gas asli nasional dan lebih daripada 25 peratus pengeluaran minyak negara. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, salah satu kompleks gas asli cecair terbesar di dunia terletak di Bintulu yang mengeluarkan 28 juta tan LNG setahun.

Katanya, atas faktor tersebut kerajaan mahu tahap penglibatan yang lebih besar dalam pengurusan sumber minyak dan gas di kawasan darat dan luar pesisir,

"Kerajaan berharap dapat menikmati bahagian pendapatan yang lebih adil dari sumber-sumber ini. Selain itu, diberikan peluang pelaburan yang lebih besar bagi Negara baik di sektor hulu maupun hilir," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Komersial antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) hari ini.

Awang Tengah berkata, ketersediaan gas asli yang dihasilkan di Negeri dengan harga yang berpatutan untuk meningkatkan agenda pembangunan industri Negara.

Menurutnya, PETRONAS akan meneruskan dan memperluas program pengembangan vendornya di masa kini serta memberi lebih banyak peluang kepada syarikat-syarikat Sarawak untuk mengambil bahagian dalam sektor minyak dan gas seperti dalam pemberian kontrak untuk kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Sarawak mengeluarkan kepada PETROS dua sewa perlombongan minyak yang meliputi daerah di Miri dan dekat Marudi, untuk memulai operasi petroleum

Beliau berkata, sehuhungan itu usaha mencari minyak akan segera dikeluarkan kepada PETROS untuk memudahkan eksplorasi lebih banyak karbon hidro di daerah yang digambarkan sebagai “Petroleum fairway” di utara Sarawak.

Kataya, kerajaan juga akan bekerjasama dengan PETRONAS untuk mewujudkan dan memelihara persekitaran yang stabil dan mesra pelaburan yang kondusif untuk pembangunan dan pertumbuhan industri minyak dan gas yang mampan, di hulu dan hilir, di Sarawak.

"Penandatanganan Perjanjian Penyelesaian Komersial ini akan menandakan kebangkitan semula perlombongan darat di Sarawak - satu-satunya tempat di Malaysia di mana aktiviti petroleum hulu sedang berlangsung.

"Perjanjian ini menunjukkan keinginan bersama kedua-dua pihak untuk bekerjasama secara konstruktif untuk membawa industri minyak dan gas di Sarawak ke tahap yang lebih tinggi," katanya

Penyelesaian Komersial Sarawak, Petronas esok


KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petronas akan menandatangani Penyelesaian Komersial esok berhubung dengan pengenaan Cukai Jualan Negeri (SST) dan keputusan Sarawak untuk mengendalikan perlombongan minyak di bawah undang-undang negeri.

Upacara bersejarah ini akan diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur  pada jam 9.30 pagi dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama seluruh pasukan perundingan dari Kerajaan Sarawak dan Petronas. 

Kerajaan Sarawak akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion manakana Petronas diwakili pengerusinya Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, perincian mengenai perkara itu akan didedahkan setelah perjanjian berkenaan ditandatangani secara rasmi.

"Setelah perbincangan antara Kerajaan Sarawak, Kementerian Kewangan dan Petronas, kerajaan negeri dan Petronas menyetujui syarat Penyelesaian Komersial," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Asfia berkata, Kerajaan Persekutuan membentuk jawatankuasa bersama yang diketuai oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memudahkan perbincangan antara kerajaan negeri dan Petronas.

Petronas mengemukakan semakan kehakiman pada penghujung tahun lalu selepas Sarawak mengenakan SST 5 peratus pada Januari 2019 ke atas produk petroleumnya.

Pada Mei lalu, kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Petronas bersepakat bahawa isu berkaitan dengan pengenaan SST dan keputusan negeri untuk mengendalikan perlombongan minyak di Sarawak berdasarkan undang-undang negeri harus diselesaikan tanpa melalui proses undang-undang.

Berikutan itu, tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Petronas dan kerajaan Sarawak ditarik pada Ogos lalu.

Petronas kemudian membayar SST kepada Kerajaan Sarawak untuk 2019 berjumlah RM2.9 bilion.

Harga petrol naik 3 sen, diesel naik 5 sen

 Harga minyak dari tempoh 5 Disember hingga 11 Disember depan disiarkan laman Facebook KPDNHEP Laman Rasmi hari ini.

KUCHING, 4 Dis: Harga runcit petrol RON 97 dan RON95 akan naik tiga sen manakala harga runcit diesel akan naik lima sen dari tempoh 5 Disember hingga 11 Disember depan.

Mengikut laman Facebook, Kementerian 
Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Penguna iaitu KPDNHEP Laman Rasmi hari ini, harga runcit RON 97 akan naik tiga sen dari paras RM1.97 seliter ke paras RM2 seliter.

Harga runcit RON95 juga akan naik tiga sen dari paras RM1.67 seliter ke paras RM1.70 seliter.

Manakala harga runcit diesel pula akan naik lima sen dari paras RM1.85 seliter ke paras RM1.90 seliter.

DAP gesa harga gas turun RM23.80

KUCHING: DAP Sarawak menggesa kerajaan menurunkan harga LPG sekurang-kurangnya 10% kepada RM23.80 per 14kg tong (RM1.70 per kg LPG). 

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, penyerahan hak pengedaran LPG dari Kerajaan Persekutuan ke PETROS tidak menggembirakan rakyat Sarawak kerana harga tong LPG 14kg masih sama pada RM26.60 per tong (iaitu RM1.90 per kg LPG) .

Menurutnya, selama bertahun-tahun, harga tong LPG 14kg dijual pada harga RM26.60 kepada pengguna.

"Kos pengedaran tong diserah pada budi bicara penyedia perkhidmatan penghantaran yang menyerahkan tong ke depan pintu pengguna, dari RM1.00 setiap tong hingga RM5.00 per tong bergantung pada jarak dan jumlahnya tong dihantar," katanya dalam kenyataan media. 

Chong berkata, Jawatankuasa Pemandu MA63 pada masa Pakatan Harapan telah memutuskan bahawa hak pengagihan diserahkan kepada Negeri dan menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu terus memberikan subsidi. 

"Diharapkan dengan peralihan kuasa dalam pengedaran LPG dari Kerajaan Persekutuan ke Negeri, subsidi akan ditambah sehingga rakyat Sarawak dapat menikmati LPG yang lebih murah.

"Namun, menyedihkan bahawa Kerajaan Negeri GPS, dalam pelancaran LPG jenama PETROS, tidak berniat menurunkan harga LPG untuk rakyat Sarawak.

"Ketika kita memperjuangkan penyerahan kuasa, tujuan utamanya adalah "kepentingan orang pertama" katanya.

Kredit gambar Chong Borneo Post Online

Gas RM26.60, subsidi 50 peratus kerajaan

 


KUCHING: Gas cecair petroleum (LPG) Sarawak untuk kegunaan isi rumah akan dijual mulai tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengedar penjualan gas tahun depan dengan harga RM26.60 selepas subsidi 50 peratus.

Menurutnya, meskipun harga tong gas didapati mahal namun kerajaan masih memberi subsidi kepada rakyat di negeri ini.

“Sarawak mempunyai sumber minyak dan gas yang banyak, 60 peratus rizab minyak dan gas di negara ini,” katanya berucap melancarkan LPG Petros di sini semalam.

Beliau berharap, Petros dapat mengeksport gas pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk membekalkan LPG ke Kalimantan barat.

Sementara itu, Pengerusi Petros, Tan Sri Hamid Bugo berkata, pembekalan LPG akan melengkapkan pengedaran gas asli dan menyokong keperluan rakyat Sarawak untuk memasak bahan bakar.


Menurutnya, Petros membekalkan gas kepada lebih 25,000 isi rumah dan 1,500 pelanggan komersial di Bintulu dan Miri melalui grid gas paipnya yang dikendalikan oleh anak syarikat milik Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd.

"Saya mengumumkan pelancaran LPG Petros. Kami menghormati hasrat ini sebagai pembekal LPG ke rumah, perniagaan dan industri orang Sarawak, bermula pada tahun 2021 dengan Kuching dan Samarahan dan memperluas seluruh negeri pada tahun 2022," katanya.

Hamid berkata, Petros akan melabur dalam pengeluaran LPG domestik dari aset minyak dan gasnya untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap LPG yang diimport.

"Penetapan harga adalah cabaran bagi kita semua sebagai pemain dalam rantaian nilai strategik ini," katanya .

Aplikasi MenThor bantu usahawan elak buat kesilapan besar dalam bisnes


KUALA LUMPUR - Aplikasi, MenThor yang dibangunkan khas dapat bantu usahawan elak buat kesilapan besar dalam bisnes bakal diperkenalkan pada 25 Januari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, MenThor Asia, Aizzuan M Ali berkata, aplikasi khas tersebut merupakan platform pembelajaran mentoring & coaching pertama mengikut konsep
microlearning menggunakan video-video khusus berkaitan bisnes seperti keusahawanan, pemasaran, jualan, kepimpinan dan banyak lagi.

Katanya, ia akan ditampilkan dalam bentuk minimum viable product (MVP) bagi fasa
pertama dengan pembelajaran video online.

“Kebanyakan orang ramai terutama usahawan akan mendapatkan ilmu bisnes seperti strategi pemasaran sama ada dengan hadir ke seminar-seminar, bengkel dan mendapatkan melalui carian internet.

"Bagi carian internet, terdapat lambakan maklumat dengan 1,001 jawapan berkaitan yang kita tak tahu adakah ia betul-betul berkesan dan tepat malah mungkin akan mengelirukan.

"Sebab itu, kami hasilkan aplikasi MenThor untuk bantu orang ramai saring ilmu bisnes daripada hanya mentor-mentor yang terbukti berkesan dalam transformasi anak didik mereka menjadi lebih baik dan berjaya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.


Tambahnya, buat permulaan aplikasi itu akan menampilkan seorang mentor bisnes
terkemuka yang telah melahirkan ratusan ribu usahawan malah mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa namun akan ada lagi mentor-mentor dari dalam mahupun luar negara untuk terlibat sama membantu usahawan-usahawan ketika keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

"Industri latihan, bimbingan & pementoran bisnes negara dijangka bakal berevolusi kerana orang ramai dapat menggunakan MenThor sebagai platform untuk akses kepada ilmu dan pengalaman mengenai keusahawanan hanya berbekalkan telefon pintar dan capaian internet yang lebih pantas, mudah, menjimatkan masa serta wang berbanding cara tradisional.

"InsyaAllah, fasa akhir pembangunan MenThor pada penghujung 2020, bimbingan & pementoran secara berkumpulan atau individu boleh dilakukan secara terus dalam aplikasi,"

Dalam pada itu, Aizzuan memberitahu, zaman persaingan dalam industri latihan, bimbingan
dan pementoran dilihat sudah berlalu yang mana kini pemain-pemain industri perlu berkolaborasi untuk memberikan nilai tambah dan pemerkasaan kepada orang ramai. 

Untuk mengikuti perkembangan MenThor Asia, orang ramai boleh mengikuti menerusi
akaun Facebook - MenThor dan Instagram - menthor.asia atau ke laman web  www.menthor.asia. 

Konsortium syarikat bas jadi keutamaan

KUCHING: Pelaksanaan Transformasi Perkhidmatan Bas Negeri (SBST) di Kuching di bawah konsortium syarikat bas akan menjadi salah satu projek pada tahun 2020.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, bandaraya Kuching adalah salah satu daripada lima bandar di negara yang dipilih untuk SBST. 

"Saya telah bertemu dengan Menteri Pengangkutan Persekutuan bulan lalu dan projek SBST adalah salah satu perkara yang dibincangkan untuk pelaksanaan pada tahun 2020," katanya dalam perutusan Sambutan Tahun Baharu 2020 hari ini.

Kim Shin berkata, kementeriannya ditugaskan dengan peranan strategik dalam merancang dan melaksanakan sistem pengangkutan awam yang bersepadu, boleh dipercayai, terjangkau, selamat dan mesra alam. 

Menurutya, pihaknya akan menubuhkan Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak terdiri daripada jabatan, agensi-agensi dan individu dari industri pengangkutan yang berkaitan.

"Saya akan membentuk Jawatankuasa secara rasminya pada permulaan tahun 2020.

"Jawatankuasa ini akan mencari pandangan dan mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan pengangkutan yang akan berguna dalam perancangan dan pelaksanaan pengangkutan awam Sarawak.
"Kajian lalu lintas, pelan induk dan projek Rapid Transit Bus (BRT) adalah beberapa bidang keutamaan," katanya.

Beliau berharap, Sarawak akan terus menguatkan semangat perpaduan dan solidariti Sarawak untuk melindungi hak, kepentingan dan keistimewaan.

"Kita harus bertindak serentak untuk memastikan hak dan keistimewaan yang dimiliki oleh Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia, 1963, Suruhanjaya Cobold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Perlembagaan Sarawak dan perundangan yang berkaitan dan Perlembagaan Persekutuan adalah dihormati dan dihormati dalam surat dan semangat oleh Kerajaan Persekutuan dan mana-mana yang telah diambil atau terkikis sepatutnya dipulihkan," ujarnya. 

Beliau berharap, Sarawak terus menjadi kerajaan dinamik, rakyat yang stabil dan stabil di mana perpaduan, kedamaian, keharmonian, penghormatan dan pemahaman bersama akan selalu berlaku di kalangan rakyatnya dari pelbagai kaum, budaya dan agama.

"Harapan saya adalah bahawa pada tahun 2020, Sarawak akan dapat memperoleh semula dan memulihkan semua hak milik kepunyaan Sarawak serta penyebaran kuasa dalam perbincangan yang berterusan dengan Kerajaan Persekutuan yang telah bermula lebih setahun lalu," ujarnya.

Harga RON97 naik 5 sen, RON95 dan diesel kekal


KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 naik 5 sen kepada RM2.63 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 3 Jan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan pengiraan mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu sepatutnya RM2.33 dan RM2.39 seliter.


“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.28 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.34 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 28 Dis 2019 sehingga 3 Jan 2020 berjumlah RM117.06 juta.  - BERNAMA