BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Orang Miri mula disuntik Astrazeneca

  
MIRI: Warga Bandaraya Miri mula menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri pada pagi Isnin.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Bahagian Miri kini memasuki fasa kedua bermula sejak 23 April lalu selepas fasa pertama pada 6 Mac lalu diberikan kepada kumpulan petugas barisan hadapan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh. Pemberian vaksin AstraZeneca di bawah PICK ini adalah berdasarkan tempahan secara suka rela yang dibuka pada 23 Mei lepas.
Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, pemberian suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca secara sukarela yang bermula pada hari ini sehingga 9 Jun nanti bakal melibatkan pemberian 200 dos sehari kepada penerima-penerima yang berumur 60 tahun dan ke atas dan suntikan dos kedua vaksin AstraZeneca akan diberikan melalui janji temu yang akan ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera. Manakala bagi tempoh 10 Jun sehingga 27 Julai 2021 pula akan melibatkan pemberian suntikan vaksin sebanyak 400 dos sehari.

Tinjauan di PPV IKBN Miri tepat jam 9:00 pagi, penerima mula dibenarkan memasuki PPV mengikut janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera. Pergerakan setiap penerima dipantau anggota keselamatan dan petugas sukarelawan MyVac IKBN Miri bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.
Datuk Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri telah hadir melakukan tinjauan di PPV IKBN Miri untuk memantau segala proses yang dijalankan pada hari pertama pemberian vaksin AstraZeneca pada awal pagi tadi. Terdahulu, beliau dan juga semua agensi dan jabatan berkaitan pengurusan COVID-19 di bawah JPBB Miri telah membuat lawatan ke IKBN Miri bagi memastikan persiapan dan segala proses dijalankan dengan baik dan sistematik.

Datuk Lee Kim Shin ketika ditemui berkata, “Kita juga meminta maklum balas daripada penerima yang hadir menerima vaksinasi pada pagi ini, mereka berasa selesa di sini dan berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan di PPV ini. Kebanyakkan memuji proses yang dilakukan di PPV ini sistematik dan mereka menzahirkan terima kasih kepada semua”.

Mengulas mengenai kehadiran penerima ke PPV IKBN Miri, Datuk Lee menasihatkan agar penerima hadir mengikut tarikh dan masa janji temu yang telah ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera. “Saya menyeru agar penerima vaksin mematuhi janji temu yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan jangan hadir terlalu awal, misalnya kalau waktu ditetapkan jam 10:00 pagi, tak payah datang awal contohnya pukul 8:00 sudah sampai ke sini. Kita ikut susunan masa yang ditetapkan untuk elak kesesakan di PPV. Hadir awal iaitu hanya 15-30 minit sebelum janji temu ditetapkan”.

Datuk Lee Kim Shin turut menggesa orang ramai yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 agar mendaftar secepat yang mungkin. Beliau memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak telah menetapkan tempoh pemberian vaksin COVID-19 yang mensasarkan program imunisasi ini akan tamat pada akhir bulan Ogos, 2021.

Susulan insiden penularan berita palsu mengenai vaksin COVID-19, Datuk Lee memberitahu, “Orang ramai diingatkan agar jangan mendengar khabar angin tidak sahih yang ditularkan seperti pesanan suara atau berita di media sosial yang mengandungi maklumat palsu. Semak dahulu sebelum kongsi. Kerjasama semua pihak adalah penting supaya proses vaksinasi ini dapat dijalankan dengan lancar. Kita hendaklah bersama-sama berganding bahu serta bekerjasama erat dengan pihak kerajaan untuk memerangi dan membanteras COVID-19 ini. Sesungguhnya Kerajaan Sarawak amat komited dalam memastikan penduduk dewasa di negeri ini mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran PICK bagi melandaikan lekuk penularan pandemik COVID-19 ini”.

JPBB Miri sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 secara ketat.

Turut hadir Tuan Abdul Aziz Bin Mohd Yusuf, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri; Mohamad Afizi Bin Salam, Pegawai RELA Daerah Miri; Dr. Noor Izni, Penyelaras PPVAZ Miri, Dr. Kang Tzin Rong (dari Kang Family Clinic), Health Care Organiser (HCO) IKBN Miri; dan Dr. Hwa Ching, Penyelaras dari Protect Health.


« PREV
NEXT »

No comments