BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Dua lagi kluster Raya di Sabah


KOTA KINABALU, 7 Jun (Bernama) -- Empat kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah hari ini dengan  dua daripadanya berkaitan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata Kluster Kampung Bolong Baru di Tuaran dan Kota Belud yang mencatat 33 kes setakat ini, dicetuskan oleh kes indeks seorang suri rumah berusia 28 tahun yang mendapat jangkitan susulan aktiviti kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri.

"Kes indeks dari Kampung Bolong Baru (Tuaran) disahkan positif pada 27 Mei. Saringan yang antaranya dilakukan di tempat kerja mendapati 26 kes positif di Tuaran dan tujuh kes di Kota Belud," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata satu lagi kluster yang tercetus akibat kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri ialah Kluster Taman Wawasan di Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu yang sehingga hari ini melibatkan 30 kes jangkitan daripada kes indeks seorang lelaki berusia 66 tahun.

"Kes indeks disahkan positif pada 18 Mei dan saringan kontak rapat mendapati dua kes positif, dengan kontak rapat ini terlibat aktiviti kunjung-mengunjung semasa hari raya di Kampung Tarap, Bongawan. Jumlah terbesar kes kluster ini dikesan di Taman Wawasan, Beaufort dengan 20 kes," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata Kluster Hamparan di Kinabatangan membabitkan 27 kes di tempat kerja iaitu daripada kluster indeks seorang wanita berusia 26 tahun yang didapati positif pada 29 Mei, sebelum saringan tempat kerja di kilang sawit mengesan 17 kes dan sembilan kes jangkitan kepada tanggungan.

Katanya Kluster Jalan Budi di Tawau pula melibatkan seorang wanita berusia 37 tahun dan merupakan pekerja salon kecantikan di Johor, yang disahkan positif ketika saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Rabu lepas, sebelum saringan kontak rapat kemudian menemukan sembilan kes positif dalam kalangan rakan serumah.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan premis menjual makanan, peruncitan dan pengedaran antaranya restoran, pasar raya, farmasi, kedai serbaneka dan kedai perkakasan beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pasar awam dan pasar harian pula dibenar beroperasi 6 pagi hingga 3 petang manakala stesen minyak serta kedai serbaneka di stesen itu dari 6 pagi hingga 8 malam," katanya.

Masidi berkata institusi kewangan dan perbankan dibenar beroperasi 8.30 pagi hingga 5.30  petang  manakala pejabat firma profesional seperti akauntan, peguam dan jurutera dibenar beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments