BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Usaha angkat Kuching bandar kreatif Unesco

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan Sarawak, sedang dalam usaha mengangkat bandar raya Kuching untuk diiktiraf di dalam Jaringan Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) di bawah kategori gastronomi.

Menteri MOTAC Datuk Seri Nancy Shukri berkata, UCCN merupakan inisiatif yang diperkenalkan UNESCO pada 2004, di mana objektif utamanya adalah memupuk inovasi dan kreativiti sebagai pemacu ke arah pembangunan bandar raya lestari.

Katanya, terdapat tujuh kategori utama bandar kreatif yang telah digariskan oleh UNESCO, iaitu ilmu dan kesusasteraan, filem, muzik, reka bentuk, kraf dan seni tradisional, gastronomi dan seni media.

Menurut Nancy, hasrat Malaysia mencalonkan Kuching sebagai salah satu bandar raya kreatif merupakan usaha yang pragmatik, dan akan memberi impak positif terhadap pembangunan sosio ekonomi tempatan.

“Ia juga akan meningkatkan visibiliti dan imej positif kepada Malaysia dan Sarawak, khususnya di persada antarabangsa.

“Kepelbagaian menu warisan dan hidangan berasaskan etnik menjadikan Kuching pilihan utama untuk diangkat sebagai bandar raya kreatif kategori gastronomi, sementara kekayaan biodiversitinya yang mempunyai pelbagai tumbuhan herba juga boleh dijadikan sebagai sumber makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nancy turut memaklumkan MOTAC juga bersetuju memperuntukkan RM5 juta kepada Kampung Budaya Sarawak, bagi menaik taraf infrastruktur di situ.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments