BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sumbat tong minyak dalam kereta


KOTA BHARU, 6 Mei (Bernama) -- Seorang penyeludup bahan api sanggup mengadaikan nyawanya sendiri apabila membawa 24 tong plastik berisi 600 liter petrol hanya dengan disumbatkan ke bahagian penumpang belakang Perodua Kenari yang dipandunya.

Pegawai Pemerintah Medan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata kejadian itu dikesan selepas sepasukan anggota PGA yang menjalankan rondaan berkereta telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Kenari dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata selepas diekori, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 28 tahun itu berjaya ditahan di bahu jalan berhampiran sebuah hotel di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, Pasir Mas, kira-kira 1.13 pagi tadi.

"Amat mengejutkan apabila hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta tersebut telah menjumpai 24 tong plastik mengandungi 600  liter minyak petrol disumbat padat ke dalam kereta.

"Tindakan seumpama ini amat berbahaya kerana sekiranya berlaku sebarang kemalangan boleh menyebabkan kenderaan yang dipandu bersama pemandunya terbakar dalam sekelip mata," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Azhari berkata lelaki bersama kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Dianggarkan 600 liter petrol yang dibawa adalah bernilai RM1,230 manakala anggaran kenderaan adalah RM10,000. Kita percaya kesemua petrol itu diisi di beberapa stesen minyak sekitar sempadan sebelum dibawa ke tempat pengumpulan.

"Hasil siasatan awal, petrol tersebut disyaki untuk diseludup ke Thailand melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments