BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak ketatkan SOP, ikhtiar percepat vaksin

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasar kepada pengalaman lampau.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, berpandukan kepada data dan keadaan di lapangan pihak SDMC terus mengenakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat di mana berlaku kes-kes jangkitan.

”Ini adalah sejajar dengan dasar “Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih” dan didapati inilah kaedah yang lebih praktikal berbanding dengan “menutup” seluruh daerah atau negeri yang terlibat dengan melaksanakan PKP,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil kira pelaksanaan PKP memberi tempias terhadap kegiataan ekonomi di negeri ini.

Menurutnya, melaksanakan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang sudahpun menerima tamparan yang hebat ekoran PKP dan PKPB setahun yang sudah.

”Ekonomi negeri harus terus dijana supaya rakyat kita tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan terus terlaksana,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri dari pembekal supaya program imunisasi di negeri ini mampu diselesaikan menjelang Ogos hadapan.

Sehubungan itu, Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengekang jangkitan di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyat kita yang layak menerima vaksin. 

Beliau berkata, kerajaan Negeri perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutan dan agensi-agensi berkaitan sebelum tempahan vaksin boleh dibuat oleh Sarawak. 

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital-hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin untuk mempercepatkan proses imuninasi khususnya di kawasan bandar. 

“Setakat ini COVID-19 telah mengorbankan banyak nyawa di Sarawak. Harga setiap nyawa tidak dapat dinilai. Oleh itu Kerajaan GPS memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi COVID-19,” katanya katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Abang Johari berkata, perkara-perkara lain seperti pilihan raya negeri boleh dikemudiankan sehingga keadaan mengizinkan. 

Beliau menyeru agar semua rakyat Sarawak yang layak diberi vaksin untuk mendaftar bagi pemberian vaksin samada melalui aplikasi MySejahtera atau kaedah-kaedah lain di tempat masing-masing.
« PREV
NEXT »

No comments