Sarawak belum PKP, Uggah

KUCHING: Sarawak belum lagi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya belum mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan PKP seperti spekulasi yang timbul.

"Kita masih berada di bawah PKPB," katanya dipetik sebuah akhbar tempatan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, jawatankuasa akan mengumumkan perkara itu secepat mungkin sekiranya terdapat perbezaan keputusan mengenai penguatkuasaan sekatan pergerakan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri-negeri membabitkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan itu berikutan kes melebihi angka 3,000 bagi tempoh tiga hari berturut-turut dan tidak menunjukkan penurunan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

“KKM telah menyarankan kepada kerajaan negeri, pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan PKP setelah penilaian risiko menyeluruh dengan mengambil kira beberapa petunjuk utama.

“Perkara ini sedang dibahaskan secara mendalam dan pengumuman (mengenai pelaksanaan PKP) akan diumumkan segera,” katanya pada Sabtu.
Share: