BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

RM250 sebulan untuk B40 Sarawak, Abang Jo

𝗦𝗔𝗥𝗔𝗪𝗔𝗞 𝗨𝗠𝗨𝗠 𝗕𝗞𝗦𝗦 𝟲.𝟬 𝗥𝗠𝟭.𝟰 𝗕𝗜𝗟𝗜𝗢𝗡 𝗥𝗜𝗡𝗚𝗔𝗡𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗕𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗞𝗬𝗔𝗧 𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣𝗜 𝗖𝗢𝗩𝗜𝗗-𝟭𝟵
KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan fasa keenam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) melibatkan peruntukan berjumlah RM1.4 bilion dalam inisiatif terbaharunya meringankan beban rakyat menghadapi kesan penularan COVID-19 dan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula esok hingga 11 Jun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan khas yang akan disalurkan merangkumi sembilan langkah pembayaran tunai dan enam langkah pemberian diskaun.
“Kerajaan Sarawak sebelum ini melaksanakan lima pakej BKSS yang bernilai lebih daripada RM3.1 bilion, yang telah sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat,” katanya semasa mengumumkan pemberian bantuan khas itu dalam sidang media di pejabatnya di sini.

BKSS 6.0 melibatkan pemberian tunai sebanyak RM250 sebulan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) B40 untuk tempoh enam bulan mulai 31 Julai hingga 31 Dis 2021 manakala individu bujang B40 yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima pembayaran tunai berjumlah RM500 secara ‘one-off’ atau sekali beri mulai 31 Ogos 2021.
“Senarai penerima bantuan adalah berdasarkan pada semua data penerima BKSS B40 sebelum ini termasuklah senarai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM970 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih daripada satu juta penerima,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata Kerajaan Sarawak akan membayar elaun bulanan khas kepada petugas barisan hadapan antara RM200 hingga RM300 selama enam bulan bermula Julai ini.

Bagi golongan penjaja dan peniaga kecil pula, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada mereka yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibayar secara dua peringkat iaitu RM750 pada Julai dan RM750 pada Disember melalui Sarawak Pay.

Beliau berkata bantuan tunai secara sekali beri sebanyak RM500 akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar di Lembaga Sungai Sarawak yang memberi manfaat kepada 200 orang.

Bantuan kewangan sekali beri sebanyak RM500 diberikan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing dan pengajar sekolah memandu selain RM600 kepada 960 pengendali van penumpang, 1,980 pemandu teksi dan 740 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak.

Jasa dan pengorbanan pengamal media sepanjang pandemik COVID-19 juga tidak dilupakan apabila Abang Johari turut mengumumkan pembayaran tunai sebanyak RM1,500 secara sekali beri, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM900,000 yang merupakan pemberian kedua selepas BKSS 3.0.

Bagi memastikan industri pelancongan bertahan dalam krisis COVID-19 dan meneruskan kelangsungan perkhidmatannya, Kerajaan Sarawak akan memberi bantuan kewangan bernilai RM3,000 untuk 216 agensi pelancongan berlesen; RM600 untuk 568 pengusaha inap desa berlesen; RM1,500 untuk 219 pemandu pelancong dan 173 pemandu pelancong Taman Negara yang berdaftar di Sarawak selain RM500 untuk 99 pemandu kenderaan pelancong berlesen.

Sementara itu, Abang Johari berkata pemberian diskaun bil elektrik dan air bulanan antara lima peratus dan 25 peratus kepada pengguna domestik, komersial dan industri akan diteruskan untuk Julai hingga Disember 2021 yang akan memanfaatkan kira-kira 647,000 isi rumah di negeri ini.

“Selain itu, diskaun 25 peratus untuk taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah untuk premis kediaman, komersial, industri dan premis pegangan khas mulai Julai hingga Disember 2021 selain diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai PBT untuk peniaga dan penjaja akan diteruskan bagi Julai hingga Disember 2021,” katanya.

Beliau berkata bagi penyewa Skim Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak, diskaun sewa sebanyak 50 peratus akan diteruskan bagi Julai hingga Disember 2021 yang akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa, sementara pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis perniagaan milik Badan Berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri juga diteruskan.

“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan program Bakul Makanan kepada isi rumah yang terjejas di seluruh Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM250,000 akan diagihkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing yang akan diuruskan oleh agensi Kerajaan Sarawak,” katanya.

Sepanjang tempoh pelaksanaan BKSS 6.0, terdapat 11 langkah dalam pakej BKSS 5.0 yang masih dalam pelaksanaan akan turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak antaranya diskaun 30 peratus cukai tanah, penangguhan pembayaran premium tanah, pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan, serta pengecualian pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments