BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Raya hanya disambut di kawasan PKPB

KUCHING: Sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu ziarah melibatkan keluarga terdekat hanya untuk tujuh hari.

Sehubungan itu, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan. 

Majlis Islam Sarawak (MIS) berkata, had pengunjung (keluarga terdekat) hanya 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dalam suatu masa serta penjarakan fizikal.

Menurutnya, takbir Hari Raya turut dibenarkan di masjid dan surau, mulai selepas solat Maghrib 1 syawal (malam) dan tidak melebihi jam 10 malam serta selepas solat subuh 1 syawal (pagi) sehingga bermula solat sunat Idilfitri.

Katanya, solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan di masjid, surau dan premis yang telah mendapat kebenaran.

Jelasnya, jemaah yang dibenarkan hadir untuk solat adalah mengikut bilangan jemaah dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau.

Beliau berkata, aktiviti ziarah kubur tidak digalakkan namun sekiranya tidak dapat dielakkan, hendaklah mematuhi garis panduan aktiviti ziarah pusara yang dikeluarkan pada 8 April lalu oleh MIS.

"Antaranya hendaklah mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka, tidak bersalaman, tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak melebihi 20 minit serta bilangan kehadiran seramai lima orang ahli waris atau keluarga terdekat sahaja," katanya.

MIS turut tidak membenarkan jamuan selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau, aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil.
« PREV
NEXT »

No comments