BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Hospital swasta Sarawak bantu percepat pemvaksinan


KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Sarawak telah mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mewarta hospital swasta sebagai Pusat Pemberian Vaksin(PPV) bagi membantu mempercepat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan menanggung kos vaksin yang akan digunakan dan akan diberi percuma kepada rakyat.

Beliau berkata syarikat korporat yang ingin memberi vaksin kepada pekerja mereka juga boleh hubungi hospital yang diwartakan.

“Vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan negeri. Syarikat hanya perlu membayar kos servis (caj servis) yang disediakan hospital swasta terbabit.

“Kini mereka (hospital swasta) sedang merundingkan harga standard sesama sendiri,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Bintulu hari ini.

Pada 23 April lepas, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permintaan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi kegunaan rakyatnya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kelulusan itu sekali lagi disampaikan Muhyiddin dalam satu pertemuan dua minggu lepas.

Sebagai permulaan, beliau berkata kerajaan negeri akan membeli 500,000 dos vaksin jenis Sinovac untuk fasa pertama manakala 500,000 dos lagi untuk fasa kedua.

-- BERNAMA 

 


« PREV
NEXT »

No comments