57 rumah panjang di Sibu masih 'lockdown'

SIBU: Sebanyak 57 rumah panjang di Bahagian Sibu masih dalam keadaan 'lockdown' sehingga hari ini daripada 184 sebelumnya, kata anggota Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (SDDMC) Sibu, Senator Robert Lau. 

Memetik laporan akhbar Borneo Post, katanya,daripada jumlah itu 16 berada di daerah Sibu, Selangau (11) dan Kanowit (30). 

"Covid-19 telah merebak ke rumah panjang dan masyarakat luar bandar, ini menjadi salah satu penyebab berlakunya banyak kes harian di Sibu dan di tempat lain di Sarawak.

 "Di Bahagian Sibu, 184 rumah panjang telah melaporkan kes positif dan diarahkan lockdown," katanya.

Pada Jumaat lalu, Lau bersama pasukan penguatkuasa Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC), turun ke lapangan untuk mengingatkan orang ramai untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan daripada dijangkiti dan menghentikan penyebaran Covid-19. 

Pada masa yang sama, mereka memberikan poster kepada penduduk rumah panjang, kantin dan pelbagai kedai di kawasan Bawang Assan.

Lau berkata, satu-satunya cara yang pasti untuk menghentikan penyebaran adalah mematuhi sepenuhnya SOP. 

"Jika tidak kita harus menunggu vaksinasi dipercepat untuk seluruh masyarakat sebagai langkah membendung penularan.

"Saya ingin mengingatkan semua untuk memakai topeng dan mengamalkan penjarakan di tempat-tempat awam,"ujarnya.
Share: