Tunggu laporan jawatankuasa bahagian tutup sekolah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) akan menetapkan keputusan menutup sekolah di bahagian masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) 
Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehubungan itu pihaknya menyerahkan kuasa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) menerusi perbincangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) di peringkat bahagian sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, jika jawatankuasa bahagian membuat penilaian pembukaan sekolah akan menjejaskan kesihatan maka usul penutupan sekolah akan diajukan kepada jabatan berkaitan.

"Kita harap mereka membuat penilaian risiko terlebih dahulu," katanya pada sidang media semalam.

Sebelum ini, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee telah mencadangkan semua sekolah di Sibu ditutup selama dua minggu.

"Saya mengambil berat tentang dan serius mengenai masalah wabak ini yang turut merisikokan para pelajar dan guru memandangkan bilangan kes-kes positif COVID-19 di Sibu mula naik lagi.

"Bukan sahaja untuk menutup sekolah-sekolah yang berada di Zon 1 hingga Zon 7 sahaja malah menutup kesemua sekolah di Sibu," kata Annuar.

Di Bintulu, JPBB Bintulu mengarahkan penutupan semua sekolah di Bintulu ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat Diperketatkan (PKPBD).

Bintulu menghadakan PKPBD selama 14 hari bermula 14 April sehingga 27 April depan dengan beberapa SOP diperketatkan.
Share: