Tamat riwayat Kancil legend



KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Polis menyita dua kereta jenis Perodua Kancil termasuk satu ‘Kancil kuning’ yang tular dalam media sosial yang dipandu tanpa mempunyai bumbung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata polis telah menahan kenderaan berwarna kuning itu yang sedang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun pada 1 pagi tadi di Bandar Metropolitan, Kepong, di sini.

"Hasil pemeriksaan kenderaan berkenaan didapati tidak mempunyai cukai jalan, tidak mempunyai bumbung selain tayar kereta hadapan sebelah kanannya telah pecah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kereta kuning itu dilakukan berikutan satu video tular di aplikasi Tiktok berkaitan kenderaan itu.

Zulkefly berkata polis dalam masa sama membuat pemeriksaan ke atas pemilik kenderaan berkenaan yang berasal dari Raub, Pahang yang dipercayai gelandangan sebelum mendapati dia turut tidak mempunyai lesen memandu. 

Beliau berkata lelaki itu turut menunjukkan sebuah lagi kereta Perodua Kancil berwarna hijau juga tidak mempunyai nombor pendaftaran selain cermin pecah pada bahagian pintu belakang sebelah kiri. 

Menurutnya, polis menyita kedua-dua kereta berkenaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak layak untuk berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna yang lain. 

"Saman turut dikeluarkan terhadap pemandu itu atas kesalahan tiada lesen memandu," katanya. 

-- BERNAMA 

 


Share: