Spaoh bakal miliki Stolport


Oleh Ammar Hamzah 

KUCHING, 15 April  (Bernama) -- Tiga puluh tahun dahulu mungkin kedengaran pelik bagi sesiapa yang mencadangkan untuk membina lapangan terbang jauh dari kawasan pembangunan, seperti Bahagian Betong, tetapi dengan potensi tempat itu, ia kini menjadi keperluan untuk membawa hasil pertaniannya ke pasaran lebih luas, termasuk di luar negara.

Rancangan sedang berjalan untuk membina lapangan terbang yang dikhaskan untuk pelepasan dan pendaratan pendek (Stolport) di Spaoh, antara bandar terkecil di Betong dan Sabtu lepas, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyerahkan dokumen perjanjian pembinaan kepada pembida tender yang berjaya untuk projek itu, D.A.L Keluarga Realty Cara Raya JV Sdn Bhd.  
Pembinaan lapangan terbang bernilai RM108.1 juta itu akan menjadi pencetus perubahan dalam memperkasakan industri pertanian Betong, yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Selama bertahun-tahun, pengeluaran pertanian dari Betong, terletak kira-kira 250km dari ibu negeri Sarawak, Kuching, diangkut dengan lori yang merupakan satu-satunya cara pengangkutan, ke pasar-pasar di sini.
Perjalanan yang boleh memakan masa sehingga lima jam itu, akan menjadi pilihan sekunder apabila Stolport beroperasi penuh, menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Dengan akses kepada pesawat udara, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, satu daripada kawasan DUN di Betong, berkata pengeluaran pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dari Betong dapat dihantar lebih cepat dan masih segar apabila diterima pengguna.
“Kami perlu segera meningkatkan pengeluaran dari sekarang, kerana dalam tempoh tiga tahun, Spaoh Stolport akan bersedia ‘menerbangkan’ produk kami ke pasaran,” katanya.

Penambahbaikan dalam sistem pengangkutan dan dorongan untuk meningkatkan pengeluaran adalah sebahagian visi kerajaan Sarawak untuk membangunkan Betong menjadi pusat pertanian moden serta merealisasikannya sebagai satu daripada bakul makanan negeri menjelang 2030.

Beliau berkata ikan tilapia Sarawak dan sayur ‘midin’ mendapat permintaan sesetengah negara seperti Singapura.

Bagi menangani permintaan ini, beliau berkata kerajaan negeri telah memulakan beberapa projek di Betong, termasuk pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian (CPPC) dan stesen inkubator usahawan.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata CPPC membolehkan petani menjual produk pertanian seperti sayur-sayuran, rambutan, kelapa, nanas dan durian semasa hasil tuaian yang banyak.

“Stesen inkubator akan dikendalikan oleh pegawai Jabatan Pertanian, juga akan melatih wanita di Betong mengenai pembuatan bakeri dan konfeksioneri,” katanya.

Selain memberi tumpuan dalam pertanian, kerajaan negeri juga akan mewujudkan kawasan komersial baharu, membina klinik, bangunan kerajaan dan projek perumahan, katanya sambil menambah jambatan juga akan dibina merentasi Sungai Paku, sebagai sebahagian daripada rancangan segera untuk meningkatkan infrastruktur di Spaoh, katanya.

"Pelan ini juga termasuk membina sebuah pusat pentadbiran baharu, penambahbaikan sistem perparitan dan pengairan serta pembinaan lebih banyak jalan bagi membentuk jaringan yang akan memudahkan mobiliti bagi masyarakat Spaoh untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial mereka,” katanya. 

Uggah berkata dengan rancangan yang telah tersedia ini, Betong yang merupakan satu daripada 12 bahagian di Sarawak bakal menikmati pembangunan pesat dengan peluang dan kemajuan yang lebih baik yang akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 penduduknya.

“Ia adalah untuk rakyat sendiri merealisasikan dan mengukuhkan kemajuan serta kemakmuran Spaoh dengan mengamalkan pertanian moden. Rakyat mesti menyokong untuk menerima pakai kaedah baharu ini untuk hasil dan pendapatan yang lebih baik, di samping kekal bersatu menyokong kerajaan,” tambah beliau. 

-- BERNAMA

 


Share: