Sarawak Coast Guard dilancarkan


Kredit gambar - Datuk Hasidah

KUCHING, 7 April (Bernama) -- Pasukan pengawal pantai ‘Sarawak Coastguard’ yang dilancarkan hari ini dilihat mampu menjaga keselamatan nelayan dan sumber asli maritim di sepanjang perairan negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata selain itu, mereka juga ditugaskan menjaga kawasan Taman Laut yang diwartakan di Sarawak dengan keluasan lebih 1.2 juta hektar.
“Kita tubuhkan pasukan ini untuk menjaga kawasan perairan Sarawak kerana Sarawak mempunyai pinggir pantai yang sangat panjang.

“Kadang-kadang ada juga nelayan (dari luar) yang menceroboh kawasan perairan kita. Yang kita takut apabila mereka boleh menghampiri kawasan perairan kita, sekurang-kurangnya (dengan pasukan pengawal ini) kita boleh sekat mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Sarawak Coastguard di sini, hari ini.
Kerajaan negeri Sarawak sebelum ini telah memperuntukkan RM90 juta untuk membeli aset bagi kegunaan Sarawak Coastguard yang telah dibentangkan dalam Bajet 2020 negeri itu.

 -- LAGI

 

ABANG JOHARI-PENGAWAL 2 (AKHIR) KUCHING 

 

Sehingga kini, Sarawak Coastguard telah menerima kapal pertama iaitu SC Tanjung Datu iaitu sebuah bot ‘Catamaran’ pada hujung tahun lepas selain enam buah bot ‘interceptor’.

Selain daripada aset-aset tersebut, sebanyak sembilan kapal ronda laju dijangka siap secara berperingkat pada 2022 dan 2023.

Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya pada majlis itu berkata aset-aset milik pasukan itu juga sesuai digunakan untuk membantu rakyat semasa banjir besar serta dalam operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, Sarawak Coastguard juga akan turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain sama ada agensi negeri atau persekutuan dalam usaha mempertahankan perairan negeri itu.

“Penubuhan pasukan ini juga merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mewujudkan iklim yang terjamin bagi membolehkan dan menarik pelabur-pelabur asing dalam pembangunan Sarawak ke arah menjadi negeri maju pada tahun 2030,” tambahnya. 

Lima pangkalan untuk Sarawak Coastguard akan dibina di Kuching, Tanjung Manis, Bintulu, Miri dan Lawas, menurut Abang Johari. 

 -- BERNAMA

 


Share: