Sarawak catat kes tertinggi



KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Malaysia mencatatkan 1,139 kes baharu COVID-19 hari ini dengan empat kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau memaklumkan daripada jumlah itu, 1,126 membabitkan penularan tempatan manakala 13 lagi adalah kes import. 
Beliau juga berkata  kes sembuh pula sebanyak 1,199 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 sebanyak 339,067.

Pada masa ini, terdapat 194 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 86 memerlukan bantuan pernafasan, katanya. 
Dr Noor Hisham berkata tiga negeri mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu Sarawak dengan 332 kes, diikuti Selangor (294) dan Johor (102).

Sementara itu, beliau berkata 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan import. 
Kluster tempat kerja membabitkan Jalan Simpang Balak dan Jalan Keretapi di Selangor; Sungai Kluang Empat dan Jalan Padang Benggali (Pulau Pinang); Jalan Bangunan Kerajaan (Sarawak) dan Persiaran Indahpura Utama (Johor).

Kluster komuniti dikesan di Sungai Kawi (Sarawak) dan Jalan Persiaran Putri (Johor), manakala kluster pusat tahanan ialah Tembok Choh Dua (Johor) dan kluster import ialah Highline (Johor), katanya.

-- BERNAMA

 


Share: