PM, bantu permudahkan rakyat

KUCHING, 1 April (Bernama) -- Pemerkasaan sektor awam merupakan antara agenda penting yang sering ditekankan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan mesra rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya ini membolehkan mesej serta bantuan dapat disalurkan secara efektik kepada golongan sasaran yang terkesan.

Justeru katanya tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk mengurangkan kekangan birokrasi agar segenap lapisan masyarakat, khususnya di luar bandar, dapat dibantu.

"Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,” katanya semasa berucap pada majlis Perjumpaan Khas bersama Penjawat Awam di sebuah hotel di sini. 

Muhyiddin berkata kerajaan turut menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (4IR) yang bertujuan menetapkan dasar, pelaksanaan dan pemantauan strategi serta inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

Katanya penubuhan majlis itu sejajar dengan kesedaran kerajaan tentang pentingnya sektor perkhidmatan awam sebagai pemangkin bidang pendigitalan dan memacu transformasi ke arah 4IR.

"Kerajaan juga telah memperkenalkan pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia untuk memacu transformasi digital sektor awam. 

"Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal (hingga) ke akhir menjelang 2025," katanya.

Menurutnya penggunaan teknologi secara meluas pasca-COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.


Share: