Perdana Menteri lawat Sarawak

Kuching - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Sarawak.

Pesawat khas membawa rombongan beliau tiba di lapangan terbang itu pada 9.37 pagi disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud.

Perdana menteri mempunyai program yang padat dengan hari ini beliau dijadualkan menghadiri Majlis Perjumpaan Khas bersama Penjawat Awam di Hotel Waterfront, lawatan ke pusat vaksin di Stadium Perpaduan Petra Jaya serta melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau juga dijadualkan menghadiri sesi balai rakyat ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Pada sebelah malam, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional dijangka mengadakan perjumpaan bersama Abang Johari serta barisan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak.

-- BERNAMA
Share: