BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Penjawat awam sorok dadah dalam poket seluar

PADAWAN: Seorang penjawat awam antara dua lelaki ditahan positif dadah jenis Methamphetamine di Kampung Sungai Aur malam semalam.

Suspek berusia 22 dan 39 tahun ditahan ketika serbuan dilakukan sekitar jam 7 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek membawa dadah jenis syabu yang disimpan di dalam poket seluar masing-masing.

Menurutnya, saringan awal air kencing mengesahkan kedua-dua suspek sah positif dadah jenis Methamphetamine.     

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak jernih berisi enam keratan tiub straw jernih, dua tiub straw berwarna merah dan dua peket plastik merah yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1.80 gram yang terletak di poket sebelah kiri hadapan seluar panjang yang di pakai suspek pertama.

"Pemeriksaan terhadap suspek kedua menemui satu keratan tiub straw jernih mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu kira-kira seberat 0.12 g," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kedua-dua suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman sehingga 4 May ini untuk tindakan siasatan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.
« PREV
NEXT »

No comments