Pemandu maut tersepit

MUKAH: Pemandu kereta maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dinaiki enam orang dari sebuah keluarga dengan sebuah lori 10 tan di Batu 91/2 Jalan Selangau sekitar ham 6.22 pagi tadi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Mukah berkata, pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pemandu, Moses anak Puso berusia 47 tahun serta dua penumpang kereta yang tersepit. 

"Manakala tiga lagi penumpang telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Akibat perlanggaran, lelaki berusia 47 tahun yang juga pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kesemua penumpangnya dihantar ke Hospital Selangau bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu serta kelindan lori tiada mengalami kecederaan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8:35 pagi.
Share: