BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pelajar IPT Sarawak tidak boleh balik


KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Lebih 100,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini, perkara itu diputuskan pada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut kenyataan itu, pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

"Pergerakan pelajar bersempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini. 

"Pelajar diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus bersempena cuti perayaan tersebut. Kebenaran ini selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT. 

Bagaimanapun, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Menurut KPT, surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah serta tarikh pergerakan pulang dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar akan disediakan oleh pihak IPT.

Pelajar dan ibu bapa juga diminta merujuk prosedur operasi standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my. 

"Pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628. 

"Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan," demikian menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments