Kluster sekolah bertambah, Menteri tegur kerajaan negeri tutup sekolah?

 



Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 17 April hingga pukul 8:30mlm 23 April 2021.


Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melebihi 380 ribu. Di peringkat global, lebih 145 juta kes dilaporkan dengan sekitar 3 juta kematian. Lebih 123 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.


KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ketika negara berdepan dengan lonjakan kes harian baharu yang semakin menghampiri tiga (3) ribu, kes positif COVID-19 kini semakin banyak dikesan dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pendidikan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini meletakkan kes berkenaan dalam kategori tersendiri iaitu Kluster Sekolah/Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (IPKPM).

Terdahulu, kes yang melibatkan pusat pendidikan adalah di bawah Kluster Tempat Kerja (KTK) yang sinonim dengan kilang dan tapak binaan. Antara kluster lain yang mencetuskan kes harian baharu termasuk kluster komuniti, kluster pusat tahanan dan kluster import. 

Hari ini (23 April 2021), lima (5) daripada lapan (8) kluster baharu yang diumumkan oleh KKM adalah kluster pendidikan termasuk empat (4) kluster sekolah/IPKM.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan pada 21 April lepas, kes COVID-19 dikesan dalam sektor pendidikan di Malaysia sejak 1 Januari 2021.

Dalam kenyataan akhbarnya mengenai Situasi Semasa Jangkitan COVID-19 Dalam Sektor Pendidikan di Malaysia, beliau berkata, setakat 21 April 2021, sebanyak 83 kluster dikesan, melibatkan 4,868 kes. Daripada jumlah itu 49 kluster masih aktif yang melibatkan 2,617 kes.

Sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (17 April hingga 23 April 2021), senarai Kluster Sekolah/IPKPM, seperti berikut:-

17 April, 3 kluster - Sarawak (2), Selangor (1); 

18 April, 1 kluster - Sarawak (1);

19 April, 6 kluster - Kelantan (3), Sabah (1), Johor (1), Kedah (1);

20 April, 2 kluster - Kelantan (1), Pulau Pinang (1);

21 April, 4 kluster - Johor (1), Melaka (1), Kedah (1), Selangor (1);

22 April, 3 kluster -  Selangor (1), Kelantan (1), Kedah (1).

23 April, 5 kluster - Sarawak (2), Pulau Pinang (1), Johor (1), Pahang (1)

Sementara itu, daripada lima (5) kluster pendidikan yang diumumkan hari ini, dua dikesan di Sarawak iaitu Kluster Jalan Roban Lama dan Kluster Jalan Selirik. Kluster Jalan Roban Lama melibatkan daerah Saratok dan Kabong dan setakat 23 April mencatat 48 kes positif COVID-19. Kluster Jalan Selirik melibatkan daerah Kapit dan setakat hari ini, sebanyak 23 kes positif COVID-19 dikesan.

Pada 17 April, Sarawak mencatat dua kluster pendidikan dan satu daripadanya, Kluster Ulu Balingian yang melibatkan daerah Selangau merekod sebanyak 101 kes positif daripada 200 individu yang disaring setakat tarikh berkenaan.

Kes yang banyak di Bumi Kenyalang itu menyebabkan Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mengistiharkan semua sekolah di 18 daerah yang diletakkan dalam zon merah ditutup selama dua minggu.

Sementara itu, daripada tiga kluster Sekolah/IPKPM yang diumumkan semalam (22 April), Kluster Jalan Shah Banting (Selangor) merekod kes yang tinggi iaitu 58 kes setakat 22 April. Kluster ini hasil saringan bersasar pelajar sebuah institusi pendidikan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Banting, Kuala Langat. 

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) untuk Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, berkuatkuasa 24 April hingga 7 Mei 2021. Sekolah ini dikaitkan dengan Kluster Jalan Shah Banting dan setakat hari ini, 71 kes positif COVID-19 dikesan.

Di Johor, sebanyak 27 sekolah iaitu 17 sekolah kebangsaan, sekolah menengah, sekolah jenis kebangsaan dan 10 sekolah agama ditutup secara berperingkat kerana rekod kes positif COVID-19 dalam kalangan petugas, murid dan pelajar.

Sekolah berkenaan dilaporkan ditutup selama seminggu untuk membolehkan ujian saringan COVID-19 dijalankan dan kerja sanitasi dijalankan.

LONJAKAN KES HARIAN BAHARU

Dalam ketika debat sama ada Malaysia berhadapan dengan kemungkinan berlaku Gelombang Keempat pandemik COVID-19, sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 23 April 2021, kes harian baharu COVID-19 dalam negara melonjak kepada 2,847 kes. Kes harian baharu secara konsisten berada pada paras lebih dua ribu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (17 April hingga 23 April 2021).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 2,847 kes itu, sebanyak 2,843 kes adalah penularan tempatan, iaitu 2,601 warganegara (91.5 peratus) dan 242 bukan warganegara (8.5 peratus).

Kes import yang direkod hari ini adalah sebanyak empat (4) kes, kesemuanya melibatkan bukan warganegara.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 22,512 kes, sementara kes kumulatif COVID-19 di Malaysia, sebanyak 387,535 kes.

Untuk rekod, kes import yang dicatat sepanjang rangkuman mingguan ini adalah seperti berikut:-

12 kes - 7 WN 5 BWN ( 17 April), 10 kes - 2 WN 8 BWN ( 18 April ), 13 kes - 3 WN 10 BWN ( 19  April), 7 kes - 2 WN 5 BWN ( 20 April), 12 kes - 1 WN 11 BWN ( 21 April), 29 kes - 1 WN 28 BWN ( 22 April) dan 4 kes - 4 BWN  (23 April).

*WN  (warganegara)  BWN (bukan warganegara)

Dengan 387,535 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 44 (berbanding 45 minggu lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Bulgaria (394,594 kes) dan Arab Saudi (410,191 kes). 

Setakat 23 April 2021, sebanyak 2,341 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 363,608 kes atau 93.8 peratus.

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama 17 April hingga 23 April 2021 adalah seperti berikut:-

2,331 kes (17 April), 2,195 kes (18 April ), 2,078 kes ( 19 April ), 2,341 kes ( 20 April),  2,340 kes (21 April), 2,875 kes (22 April) dan 2,847 (23 April).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

1,832 kes (17 April), 1,427 kes (18 April), 1,402 kes (19 April), 1,592 kes (20 April), 1,910 kes (21 April), 2,541 kes (22 April) dan 2,341 (23 April).

Untuk rekod, KKM mengumumkan Gelombang Ketiga melanda Malaysia pada 20 Sept 2020. Pada tarikh berkenaan, terdapat 52 kes harian baharu, sementara jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 734 kes.

Rekod KKM juga menunjukkan, pada 19 September 2020, kes harian baharu sebanya 20 kes (jumlah kes positif 10,167) dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 722 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan di bawah Gelombang Ketiga memuncak melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894. 

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (17 April hingga 23 April 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

BANYAK KLUSTER CETUS KES BAHARU

Sehingga Jumaat 23 April 2021, jumlah kluster yang direkod dalam negara adalah sebanyak 1,573 kluster dan 1,219 daripadanya ditamatkan. Kluster yang masih aktif adalah sebanyak 354 dan daripada jumlah itu, 72 kluster mencatat pertambahan kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Pulai Chondong (79 kes), Kluster DTI Lenggeng (56 kes), dan Kluster Kampung Bunut Sungai Burung (40 kes).

Sebanyak lapan (8) kluster baharu diumumkan hari ini, melibatkan lima (5) kluster pendidikan termasuk empat (4) kluster sekolah / institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dua (2) kluster komuniti, dan satu (1) kluster tempat kerja.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 17 April hingga 23 April 2021:-

Sabtu 17 April - 8 kluster ( 4 KTK) ; Ahad  18 April -  5 kluster ( 3 KTK) ; Isnin 19 April - 14 kluster ( 3 KTK) ; Selasa 20 April - 7 kluster (1 KTK ); Rabu 21 April  - 11 kluster ( 2 KTK), Khamis 22 April - 13 kluster  (5 KTK) dan Jumaat 23 April -  8 kluster (1 KTK).

PERKEMBANGAN LAIN DALAM NEGERI

Mengenai perkembangan mutakhir Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (Laporan Harian Pemberian Dos 1 Vaksin Mengikut Negeri) sehingga 22 April 2021 adalah seperti berikut:- 

* Dalam kurungan Jumlah Dos 2

Perlis 14,335 (9,743);  Kedah 50,029 (30,048); Pulau Pinang 50,050 (32,594); Perak  62,374 (49,589) ; Selangor 103,219 (69,112) ; Kuala Lumpur 86,823 (43,907) ; Putrajaya 8,547 (5,171) ; Negeri Sembilan 35,340 (24,399) ; Melaka 25,998 (13,583) ; Kelantan 36,884 (22,266); Terengganu 32,949 (24,112) ; Pahang 52,107 (33,540) ; Johor 71,609 (36,966) ; Sabah 64,822 (44,997) ; Labuan 5,317 (2,429) ; Sarawak 71,426 (46,652).

Jumlah pemberian Dos 1 dan 2 adalah 1,260,937 (jumlah Dos 1 / 771,829 dan Jumlah Dos 2/ 489,108.

Sementara itu, Laporan Harian Jumlah Pendaftaran Vaksinasi sehingga 22 April 2021 menunjukkan seramai 9,192,579 individu (37.90 peratus), berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar. 

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 22 April 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 22 April 2021 untuk seluruh negara kekal 1.16. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Kelantan 1.53, WP Kuala Lumpur 1.29 dan Melaka 1.23.

PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

Berdasarkan perincian KKM mengenai 2,847 kes positif COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 23 April 2021, sebanyak enam negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, iaitu Selangor 748 kes (*1), Sarawak 717 kes, Kelantan 476 kes, WP Kuala Lumpur 302 kes (*3), Johor 130 kes dan Negeri Sembilan 105 kes.

Negeri mencatat kes harian baharu dua (2) angka ialah Pulau Pinang 89 kes, Sabah 82 kes, Perak 45 kes, Kedah 44 kes, Melaka 42 kes, Pahang 39 kes, WP Putrajaya 14 kes dan Terengganu 11 kes.

WP Labuan mencatat satu (1) angka kes baharu iaitu 3 kes sementara Perlis kekal sifar kes.

(*) merujuk kepada kes import.

Semalam (22 April), Kelantan mendahului negeri lain dengan bilangan kes harian tertinggi iaitu 662 kes  (23.0 peratus). Menurut kenyataan KKM, daripada jumlah itu, sebanyak 567 kes adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19. 

Seluruh negeri Kelantan kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada 14 April lalu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di tujuh daripada 10 jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah. Ia berkuatkuasa pada 16 April hingga 29 April 2021.

Peningkatan kes COVID-19 yang ketara di negeri itu menyebabkan kerajaan melaksanakan PKP ke atas tiga lagi jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, bermula 22 April hingga 29 April 2021.

Sementara itu, sebanyak lapan (8) kes kematian dilaporkan hari ini 23 April 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,415 (0.37 peratus). Kes kematian masing-masing dua (2) kes di Kelantan, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebanyak tujuh (7) kes melibatkan warganegara dan satu (1) bukan warganegara.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 17 April hingga 23 April 2021 :-

5 WN ( 17 April ), 8 WN ( 18 April ), 8 WN ( 19 April),  3 kes - 2 WN 1 BWN  ( 20 April),  11 kes - 9 WN 2 BWN ( 21 April), 7 kes - 6 WN 1 BWN kes ( 22 April) dan 8 kes - 7 WN 1 BWN (23 April).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Sebanyak 260 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 125 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 145,493,666 kes (rangkuman minggu lalu 139,817,738 kes) dengan 3,088,553 kematian (minggu lalu 3,002,422 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 123,507,148 (minggu lalu 118,844,676 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Rusia, United Kingdom, Turki, Itali, Sepanyol,  dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 32,669,121 kes ( 584,226 kematian), 

India 16,263,695 kes (186,928 kematian);

Brazil 14,172,139 kes (383,757 kematian), 

Perancis 5,408,606 kes (102,164 kematian),

Rusia 4,744,961 kes ( 107,501 kematian), 

Turki 4,501,382 kes ( 37,329 kematian),

United Kingdom 4,398,431 kes ( 127,345 kematian), 

Itali 3,920,945 kes (118,357 kematian), 

Sepanyol 3,456,886 kes ( 77,496 kematian), 

Jerman 3,238,054 kes ( 81,693 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 95 dengan 90,566 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 88 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia di tangga 18 dengan 1,632,248 kes dan 44,346 kematian. Filipina di tangga 26 dengan 979,740 kes dan 16,529 kematian.

Myanmar di tangga 82 dengan 142,687 kes dan 3,206 kematian. Singapura di tangga 102 dengan 60,943 kes dan 30 kes kematian.

Thailand meningkat ke tangga 105 (minggu lalu tangga 111) dengan 50,183 kes dan 117 kematian; Kampuchea kini di tangga 155 (minggu lalu 162) dengan 8,848 kes dan 61 kematian; Vietnam di tangga 177 dengan 2,830 kes dan 35 kematian.

Brunei di tangga 200 dengan 223 kes dan angka kematian kekal tiga (3), sementara Laos ke tangga 205 dengan 94 kes dan sifar kematian.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut. 

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.  

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

-- BERNAMA



Share: