Kempunan nikmati hasil rompakan RM46,000

MIRI: Sepandai-pandai tupai melompat akhir jatuh ke tanah jua. Demikian apa yang berlaku ke atas seorang penyamun yang gagal menikmati hasil rompakan selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan Cosmos, Pusat Komersial Pelita pada 26 April lalu.

Suspek berusia 48 tahun ditangkap di sebuah hotel bajet sekitar jam 6 pertang dengan hasil rompakan bernilai lebih RM46,000 kurang dalam tempoh 24 jam.

Penjenayah tegar tersebut dipercayai mempunyai lapan rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, suspek didapati memecah masuk rumah sewa kontraktor berusia 46 tahun.

Antara barang yang dilaporkan hilang ialah seutas jam tangan jenama Panerai bernilai RM28,000, rantai jed bernilai RM8,000, tiga unit telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jepun, China, Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei Darussalam

"Ketika kejadian kontraktor tersebut tidak berada di rumah kerana keluar untuk makan malam kira-kira jam 8.30 malam," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, suspek dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran mangsa yang dilihat berlegar di luar pintu pagar sebelum memasuki rumah tersebut.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Share: