Jual 1,000 keping murtabak sehari


KOTA BHARU, 25 April (Bernama) -- Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di Kelantan ketika ini, ia tidak menjadi 'penghalang' rezeki buat keluarga penjual martabak menerima permintaan memberangsangkan pada bulan Ramadan ini.

'Martabak Kadok' yang dikenali penduduk di sekitar sini sejak 25 tahun lepas itu, hanya beroperasi di hadapan tangga rumah pengusahanya di Kampung Kadok, Jalan Ketereh-Kota Bharu, dekat sini.

Peniaga makanan itu, Ahmad Rais Fikri Rosli, 28, yang bergandingan dengan ayahnya, Rosli Mohamad, 54, menyiapkan lebih 1,000 martabak setiap hari pada bulan Ramadan.

"Pada 1 tengah hari, pelanggan sanggup beratur untuk membeli martabak kami sebagai juadah berbuka puasa mereka," kata Ahmad Rais Fikri ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kadok, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, beliau berkata sebelum Ramadan, hanya 300 keping martabak sahaja yang dijual selain ia juga dibuat secara sejuk beku bagi memenuhi tempahan pelanggan dari luar Kelantan termasuk luar negara seperti Singapura, Dubai dan Makkah.

"Martabak yang menjadi pilihan ramai adalah daging dan ayam yang dijual pada harga RM5 sebiji, selain pelanggan juga mempunyai pilihan martabak inti istimewa antaranya dengan campuran keju dan pisang yang dijual pada harga RM7 hingga RM8 sekeping," katanya sambil memberitahu perniagaan itu turut dibantu 14 pekerja.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata perniagaan keluarganya itu mengeluarkan modal lebih RM2,000 sehari untuk membeli 12 kilogram (kg) ayam, 20 kg daging dan 1,700 biji telur sebagai bahan untuk membuat inti martabak.

"Biarpun harga barangan mentah meningkat, martabak ini masih dijual dengan harga sama iaitu RM5 sekeping dan apa yang menjadikan ia istimewa kerana menggunakan daging tempatan dan ayam segar, selain saiz yang agak besar dengan anggaran berat 400 gram sekeping.

“Kebiasaannya, inti martabak ini dimasak oleh ibu saya, Kamisah Ab Majid, 52, pada waktu malam sebelum berniaga," tambahnya.

-- BERNAMA

 


Share: