GPS sokong Muhyiddin, Abang Jo



KUCHING, 1 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara ini.

Ketika menzahirkan sokongan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata pihaknya yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin yang memberi penekanan kepada  pentingnya kestabilan negara.

“Saya percaya kalau negara kita stabil, kita dapat menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan khas perdana menteri bersama penjawat awam Sarawak dan persekutuan, di sini hari ini.

Muhyiddin tiba di sini pagi tadi bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari.

Abang Johari turut memuji kebijaksanaan perdana menteri dalam menangani isu pandemik COVID-19.  

“Kerjasama di antara kerajaan Sarawak dan persekutuan begitu akrab, begitu juga dengan hubungan di antara penjawat awam di negeri ini,” tambahnya.

GPS yang dipimpin Abang Johari dan dianggotai empat parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri masih kekal sebagai sekutu  Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin bagi membantu membentuk kerajaan persekutuan.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 itu ialah  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

-- BERNAMA

 


Share: