Gembala kambing cedera ditembak


PARIT BUNTAR, 20 April (Bernama) -- Polis menahan seorang pengawal peribadi dan dua rakannya selepas terlepas tembakan yang mengenai seorang penjaga kambing sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian perut dalam kejadian di tepi sungai Jalan Swee Lee, Kuala Kurau di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihak polis menerima panggilan mengenai mangsa berusia 23 tahun yang dirawat akibat terkena tembakan daripada unit kecemasan Hospital Parit Buntar pada kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengawal peribadi berumur 33 tahun itu sedang minum arak bersama mangsa dan dua lagi rakan mereka iaitu pemilik syarikat lori berumur 37 tahun dan penjaga stor berusia 48 tahun.

Katanya, pengawal peribadi yang bekerja di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur itu bertemu dengan tiga sahabatnya untuk upacara sembahyang kematian seorang rakan mereka dan dalam pertemuan itu, lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol miliknya jenis CZ 75 dengan niat hendak menunjuk-nunjuk kepada mangsa.

"Awalnya lelaki tersebut telah mengeluarkan kelopak peluru pistol tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber lalu menarik picu pistol hingga menyebabkannya meletup dan terkena mangsa yang berdiri di hadapannya pada jarak lebih kurang satu meter," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anuar berkata mangsa yang mengalami luka pada bahagian kiri perut telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Parit Buntar dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, polis telah merampas sepucuk pistol bersama kelopak berisi lapan peluru jenis 9mm, sarung pistol dan sebutir kelongsong tertera tulisan 9mm daripada lelaki terbabit.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.


-- BERNAMA


 



Share: