Gang Nicky - Interpol keluarkan "Notis Merah"

 




JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, yang mengetuai sindiket ‘Geng Nicky’ dan juga pembantunya.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, notis merah terhadap Liow dikeluarkan Interpol dua hari lalu (20 April), manakala notis ke atas pembantunya dikenali sebagai Niu Zhe, 31, warga China, telah dikeluarkan semalam.

Pengeluaran notis itu susulan permohonan yang dibuat polis Malaysia sebelum ini, bagi mengesan dan menangkap Liow.

“Kedua-dua mereka telah mendapat notis merah” katanya ringkas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga mengesahkan seorang pegawai polis telah ditahan berhubung geng sama, namun enggan mengulas lanjut kerana operasi untuk menjejaki individu terlibat masih dijalankan.

“Saya tidak mahu membuat kenyataan satu persatu. Jika ada tangkapan susulan, Polis Johor akan buat sidang media. Apa yang pasti, operasi masih lagi berterusan dan akan ada tangkapan susulan,” katanya.

Hari ini, akhbar tempatan mendedahkan bahawa polis telah menahan seorang pegawai kanan berpangkat ASP, berhubung kegiatan jenayah terancang diketuai oleh Liow.

Dalam isu lain, Ayob Khan memaklumkan seorang lelaki telah ditahan kerana didapati menyamar sebagai peguam istana Diraja Johor, untuk memperdaya sebuah syarikat pengiklanan dengan bayaran pemasangan papan iklan sebanyak RM185,000.

Katanya, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan pada pukul 9.40 pagi tadi, di Kampung Dato Onn Jaafar, Johor Bahru susulan satu laporan polis yang dibuat pada 31 Mac 2011, berkaitan penipuan individu menyamar sebagai peguam Istana Diraja Johor.

“Individu itu yang juga merupakan seorang peguam, telah memperdaya syarikat berkenaan dengan membuat penyamaran untuk mendapatkan pembayaran cas pemasangan papan iklan sebanyak RM185,000 di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

“Peguam ini akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok di bawah Syeksen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

Share: