Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing ditahan

MIRI:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan asing di perairan Miri pada jarak lebih kurang 21 batu nautika dari barat laut Kuala Sibuti atas kesalahan disyaki menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah, sekitar jam 10 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md. Fauzi Othman
berkata, semasa melaksanakan Op Permai, aset Maritim Malaysia telah
mengesan sebuah bot sedang leka menjalankan aktiviti perikanan
dalam keadaan mencurigakan.
"Menyedari kehadiran aset penguatkuasa, bot nelayan asing itu
melepaskan peralatan menangkap ikan ke laut sebagai cubaan melupuskan bahan bukti selain untuk meloloskan diri semasa hendak diperiksa.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing tersebut dikendalikan
oleh tujuh orang kru termasuk tekong yang kesemuanya lelaki warga
Vietnam berumur dalam lingkungan 27 hingga 43 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya,empat daripadanya mempunyai pasport pengenalan diri manakala tiga yang lainnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Kesemua kru dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut. 

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah,"katanya.
Share: