Baru tanya Masing isu projek SSLR

KUCHING: Bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian terkejut apabila membaca kenyataan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James mengatakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membiayai Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian meminta James Masing menjelaskan mengenai pembiayaan Kerajaan Sarawak bagi projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR).

Baru dalam kenyataan berkata, ia tidak seperti dimaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pada Ogos 2020.

“Jika benar, apa yang berlaku kepada dana lebih RM900 juta yang telah saya peruntukkan untuk projek SSLR ketika saya menjadi menteri (kerja raya)? Adakah ia telah disalurkan untuk projek lain di Sarawak atau untuk projek di negeri lain di Malaysia?

“Dana ini sangat penting untuk Sarawak, seharusnya dibelanjakan bagi membangunkan infrastruktur kita, di banyak kawasan di Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata, walaupun membiayai projek SSLR adalah hak prerogatif Kerajaan Sarawak, beliau keliru atas alasan peruntukan bagi projek berkenaan telahpun diberi oleh kerajaan persekutuan.

Menurutnya SSLR sepanjang 425km dibangunkan dalam dua fasa, dengan fasa pertama dari Lawas hingga Kampung Pa’Berunut dan fasa kedua dari Kampung Pa’Berunut ke Long Lama.

Menurutnya, fasa pertama projek berkenaan dianggarkan bernilai RM1.2 bilion manakala fasa kedua RM4 bilion.

“Adakah Kerajaan Sarawak membiayai kos pelaksanaan kedua-dua fasa projek ini atau sebahagian daripada fasa ini,” soalnya.
 
Baru berharap Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menjelaskan kepada rakyat Sarawak jalan mana yang akan dibiayai kerajaan GPS bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Pada masa sama beliau maju Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberi penjelasan mengenai perkara ini.

“Sebenarnya, saya telah melancarkan projek ini pada November 2019 di Long Sebangang. Pada Ogos 2020 Menteri Kerja Raya ketika ini mengesahkan projek itu akan dilanjutkan.

“Sekiranya kerajaan persekutuan PN (Perikatan Nasional) dan kerajaan PN-GPS negeri telah membuat beberapa pilihan alternatif, mereka harus bersikap telus dan berkongsi perinciannya dengan kita,” katanya.

Baru turut mempersoalkan kelewatan pembinaan fasa pertama SSLR kerana ketika beliau menjadi Menteri Kerja Raya, ia dijadual bermula April atau Mei 2020.

“Penduduk luar bandar telah menunggu lebih 50 tahun untuk jalan ini menjadi kenyataan dan kita mahukan penjelasan dan jawapan,” tambahnya.

Masing dipetik sebuah portal berita (Malay Mail) pada Ahad, kerajaan GPS menggunakan dana sendiri untuk membina projek SSLR yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Namun, penyelarasannya sedikit berbeza dengan dicadangkan kerajaan PH sebelum ini kerana kita ingin memenuhi keperluan pembangunan luar bandar dan bandar,” katanya sebagai mengulas kenyataan Baru sebelum ini.

Masing menambah: “Tidak kira siapa kerajaan, kesinambungan pembangunan harus dilakukan, jika tidak, tiada kerajaan atau pelabur akan membuat perjanjian dengan kita jika tiada kesinambungan dalam rancangan pembangunan Malaysia.

“Tidak kira siapa pemerintahnya, kesinambungan dalam pembangunan harus dilakukan, jika tidak, tidak ada kerajaan atau pelabur asing yang akan membuat perjanjian dengan kita, jika tidak ada kesinambungan dalam rancangan pembangunan Malaysia,” kata Masing.
Share: