Ambulans terbalik, jururawat patah bahu

KUCHING: Jururawat mengalami patah di bahagian tulang bahu kiri apabila sebuah ambulans terbabas melanggar dua buah kenderaan lain di Jalan Song Sekama, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 8.19 pagi itu, pemandu ambulans berusia 52 tahun mengalami cedera ringan di bahagian leher.

Manakala, seorang lagi penumpang depan kiri ambulans dan pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ambulans tersebut terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan terlanggar dua buah kenderaan yang sedang berhenti semasa lampu isyarat merah sebelum terbalik ke sebelah kiri.

Menurutnya, pemandu ambulans datang dari arah Jalan Laksamana Cheng Ho menghala ke Jalan Song telah hilang kawalan selepas melalui lampu isyarat Jalan Tun Jugah-Jalan Song.

"Ketika kejadian cuaca dalam keadaan hujan dan jalan licin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Share: