929,435 rakyat Sarawak divaksin mulai Isnin

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Sebanyak 929,435 individu disasarkan menerima vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak yang akan bermula Isnin depan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.

Beliau berkata fasa kedua itu akan dimulakan di bahagian Sibu pada 19 April, diikuti Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Mukah dan Miri pada 23 April, manakala Samarahan, Bintulu dan Limbang pada 24 April serta Sarikei pada 30 April.

“Fasa Kedua ini menyasarkan golongan berisiko tinggi iaitu mereka yang mempunyai penyakit kronik (comorbidities) dan warga emas berumur lebih 60 tahun. Sebanyak 13 pusat pemberian vaksin akan beroperasi di seluruh Sarawak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Dr Chin berkata 924 penerima dijangka hadir untuk menerima vaksin di Stadium Tertutup Sibu pada Isnin depan, dan penerima akan diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera dalam masa dua minggu sebelum tarikh vaksinasi.

Sementara itu, terdapat 512 kes jangkitan COVID-19 dikesan di Sarawak pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 23,432, selain penambahan satu kes kematian menjadikan angka keseluruhan kematian akibat pandemik tersebut 136 orang.

-- BERNAMA
Share: