Tembak isteri sedang tidur, lelaki didakwa



KOTA TINGGI, 16 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh isteri yang dilaporkan sedang tidur menggunakan senapang angin di rumahnya di Taman Sri Saujana, di sini, awal bulan ini. 

Tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim, 43, mengangguk dan menjawab “faham” selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada bapa empat anak itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana di sini pada jam 3.30 pagi, 1 Mac lepas. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, Hanafi dihukum penjara berjumlah 20 tahun terhadap empat pertuduhan iaitu memilik dua laras senapang dan 64 butir peluru tanpa lesen.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua empat pertuduhan itu dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap iaitu 2 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Hanafi  dikenakan hukuman penjara lima tahun, pertuduhan kedua (4 tahun), pertuduhan ketiga (enam tahun) dan lima tahun bagi pertuduhan keempat.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun sahaja. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Sri Saujana dan Ladang Pasir Panjang di sini pada jam 11.30 pagi dan 9 malam, 1 Mac lepas.

Dalam prosiding lebih empat jam itu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 5 Mac lepas, media melaporkan misteri kehilangan seorang wanita akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dengan tragis di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, sekitar jam 4.30 pagi pada hari kejadian.

-- BERNAMA


Share: