BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak catat 426 kes positif hari ini

 Bahagian Serian 203 kes baharu hari ini

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Sarawak hari ini merekodkan kes harian baharu COVID-19 tertinggi pernah dicatatkan di negeri itu dengan 426 kes positif. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Sarawak meningkat kepada 13,820.

Beliau berkata sebanyak 203 daripada kes baharu hari ini direkodkan di Bahagian Serian dengan 191 kes dikesan susulan operasi penutupan dan pemeriksaan yang dilakukan di Depot Tahanan Imigresen Semuja.

“Sehingga kini, Depot Tahanan Imigresen Semuja telah menahan seramai 462 orang kena tahan (OKT) dan telah dikuarantin serta disaring, dan 433 orang didapati positif,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Sarawak mencatat kes harian baharu COVID-19 tertinggi dengan 407 kes pada 19 Mac lepas.

Uggah turut memaklumkan terdapat dua kematian baharu hari ini menjadikan jumlah korban akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 103 orang.

Beliau berkata kes kematian ke-102 melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 77 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala batuk dan masalah kesukaran bernafas.

Warga emas itu kemudian dikesan positif pada 2 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac.

“Kes kematian ke-103 pula melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 63 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala batuk dan masalah kesukaran bernafas.

“Ujian saringan dibuat dan dia dikesan positif pada 19 Mac. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan meninggal dunia pada 27 Mac,” katanya.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments