BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Sarawak benarkan Bazar Ramadan beroperasi


KUCHING, 25 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di Sarawak sepanjang bulan puasa dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebelum memulakan operasi, premis terbabit dikehendaki mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) di mana mereka akan beroperasi.

“Semua pekerja dan pengusaha mestilah telah menjalani ujian calitan RT-PCR (dengan keputusan negatif COVID-19) sebelum memulakan operasi dan pemeriksaan berkala akan dilaksanakan bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi,” menurut kenyataan itu.

SOP pengoperasian premis boleh diperoleh di laman sesawang Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak di http://mlgh.sarawak.gov.my.

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan 308 kes baharu COVID-19 menjadikan  jumlah keseluruhan 14,963 kes dengan dua kematian baharu, menjadikan jumlah kematian kini 101 orang.

Menurut JPBN, kes kematian ke-100 melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 72 tahun yang telah menerima rawatan di Hospital Sibu dan ujian rT-PCR beliau adalah positif COVID-19 pada 28 Feb.

“Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 24 Mac. Kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma.

“Kes kematian ke-101 pula melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 88 tahun yang telah mendapat rawatan dan ujian saringan COVID-19 di Hospital Sibu yang merupakan kontak kepada kes positif,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan JPBN juga menyebut keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 25 Mac selain mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis serta dislipedimia.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments