Polis tutup kawasan Gunung Tabai


KUCHING, 25 Mac (Bernama) -- Polis Sarawak akan menutup kawasan Gunung Tabai di Bau, kira-kira 40 kilometer dari sini, bagi mengekang aktiviti melombong emas secara haram di kawasan itu, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Katanya, ini susulan kejadian seorang lelaki telah maut akibat tertimbus di dalam sebuah lubang, ketika beliau melombong emas secara haram bersama dua rakannya di gunung tersebut semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan berbincang dengan Pejabat Daerah Bau bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh mengenai perkara tersebut. 

“Saya dah minta polis di Bau untuk menutup kawasan itu supaya orang awam tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan tersebut. Kita lihat cara mereka melombong itu memang bahaya.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menjaga diri masing-masing dan jangan ambil peluang untuk buat perkara yang boleh membahayakan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Mayat Mat Tapa, 26, ditemukan tertimbus di bawah runtuhan batu dan tanah oleh pasukan mencari dan menyelamat, namun mayat itu masih belum dapat dikeluarkan.

Kerja-kerja membawa mayat keluar dari kawasan itu disambung pukul 8 pagi tadi kerana posisi dan kedudukan jasad yang tertimbus itu berada di lokasi berbahaya, disebabkan struktur galian yang tidak stabil, sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

-- BERNAMA 

 


Share: