Polis Sarawak rampas dadah RM267,940 di sempadan



KUCHING, 8 Mac (Bernama) -- Polis Sarawak menahan seorang lelaki dan seorang wanita Jumaat lepas selepas didapati membawa 14,880 biji pil ekstasi dan 0.73 gram dadah methamphetamine yang keseluruhannya bernilai RM267,940 di Tebedu, perbatasan Malaysia-Kalimantan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail hari ini berkata methamphetamine itu ditemukan sewaktu pemeriksaan ke atas wanita berumur 38 tahun itu, sementara pil-pil berkenaan dalam sebuah beg galas yang dibawanya.

Bercakap dalam sidang media, beliau berkata suspek wanita itu bersama lelaki berusia 35 tahun tersebut dalam sebuah kereta semasa ditahan sepasukan polis yang menjalankan operasi Op Benteng di KM 30, Jalan Serian - Tebedu, kira-kira 100 kilometer dari bandaraya Kuching.

“Polis merampas kesemua dadah tersebut bersama-sama kereta dan wang tunai RM500 (yang dibawa oleh kedua-dua suspek) dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, hasil saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif dadah dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 Gambar ihsan Polis Sarawak

215
26 comments
101 shares
Share: