BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pengesanan kes aktif di Bintawa mula esok

Gambar Hiasan 


KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- Operasi pengesanan kes aktif (ACD) COVID-19 di Kampung Bintawa Hulu dan Kampung Bintawa Tengah akan bermula esok membabitkan 4,200 penduduk yang meliputi 750 kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi itu dilaksanakan ekoran keputusan kerajaan meletakkan kedua-dua kampung di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang bermula hari ini.

Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan pengesanan kes aktif kontak rapat kepada kes positif dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas penduduk di kedua-dua kampung.  

“Terdapat 22 kes positif COVID-19 telah dilaporkan di kampung terbabit dengan tambahan enam kes hari ini sekali gus menunjukkan virus ini masih menular dalam kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kampung itu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata operasi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi agresif untuk memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 yang membabitkan lebih 50 petugas Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mengulas lanjut, Uggah berkata punca kes di kampung terbabit juga telah dikenal pasti dan dinamakan  sebagai subkluster kepada Kluster Emperoh Jambu di sini.

“Kes indeks telah dijangkiti di sebuah syarikat logistik (tempat kerja) daripada seseorang daripada Kluster Emperoh Jambu dan membawa sekali virus itu pulang ke rumahnya di kampung terbabit,” katanya.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 bagi Kluster Emperoh Jambu ialah 303.

Ketua Polis Daerah Kuching Awang Din Awang Gani pula berkata PKPD di bandar raya ini dilaksanakan dengan pembabitan pasukan polis marin dan aset bot yang berkawal 24 jam kerana kampung terbabit terletak di tepi Sungai Sarawak.

“Kampung berkenaan terletak di tepi Sungai Sarawak serta mempunyai jalan keluar masuk darat dan air, jadi seramai enam anggota polis marin turut menyertai operasi kali ini selain 28 anggota polis,” katanya.

-- BERNAMA

 

« PREV
NEXT »

No comments