BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pasar Borneo Seri Kembangan


Mi Goreng berapi-api ala Sarawak Kredit Gambar Pasar Borneo Seri Kembangan

Oleh Anasathia Jenis


KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Bagi anak-anak jati Sarawak yang merantau ke Semenanjung, kerinduan terhadap makanan tradisional bumi asal seperti kek lapis sarawak, mi kolok, ikan pansuh, kuih bongkol, celorot, kompia dan asam terung, pastinya sentiasa hadir di hati mereka.

Justeru, tidak menghairankan apabila ada perantau dari Bumi Kenyalang itu sanggup mengorak langkah mewujudkan Pasar Borneo di Seri Kembangan dekat sini sejak tujuh tahun lalu, yang bukan sahaja menjual pelbagai produk Sarawak tetapi juga negeri berjiran, Sabah.

Pasar Borneo yang dibuka setiap Sabtu dari  5 hingga 11 pagi itu bukan sahaja dapat memenuhi keinginan anak-anak Sarawak di sini menikmati makanan tradisional kegemaran mereka tetapi pada masa sama turut memperkenalkan pelbagai tradisi serta budaya negeri berkenaan termasuk makanan kepada rakyat Malaysia di Semenanjung.

Presiden Persatuan Peniaga Pasar Borneo Seri Kembangan Nelson Entap Engin ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata pelbagai barangan tempatan dari Sarawak dan Sabah boleh didapati di pasar tersebut.

Katanya pasar berkenaan bukan sahaja menarik perhatian pengunjung anak Sarawak dan Sabah tetapi juga penduduk tempatan.

Menurut Nelson, idea mewujudkan pasar berkenaan tercetus apabila dia dan rakan senegeri menghadapi kesukaran mendapatkan produk atau makanan dari tanah kelahirannya di sini.

Dia dan rakannya kemudian menjalankan jualan produk dan makanan secara kecil-kecilan yang akhirnya berkembang kepada pembukaan Pasar Borneo yang kini menjadi sebutan ramai.

Menurut Nelson, kewujudan pasar itu menangani isu kekangan kos penghantaran barangan idaman dari kampung yang selama ini dihadapi oleh anak-anak Sarawak di sini.

“Pengunjung beragama Islam juga tidak perlu risau kerana kita memastikan semua makanan dan produk yang dijual adalah halal walaupun ada peniaga bukan beragama Islam. Kami juga menjamin kebersihan pasar ini.

"Selain itu, melalui pasar ini, kita dapat mendekatkan dan memperkenalkan budaya dan makan tradisional kita kepada masyarakat di sini,” katanya.

Seorang pengunjung Martin Kiu Redan Jenis, 27, berasal dari Padawan, Sarawak tidak melepaskan peluang untuk membeli sayur kegemarannya seperti midin terung Dayak atau juga dikenali sebagai terung asam.

Teruja dapat berjumpa dengan rakan-rakan senegeri, dia yang pertama kali menjejakkan kaki ke pasar itu mengakui pasar berkenaan memberi peluang kepadanya berkomunikasi dalam  bahasa ibundanya iaitu Bidayuh atau Iban. 

"Sebelum ini saya cuma mendengar tentang Pasar Borneo dan tidak sangka ia sangat meriah, menarik dengan buah-buahan atau sayuran-sayuran yang cukup terkenal di Sarawak ada dijual di sini.

"Ini sedikit-sebanyak mengubati kerinduan saya terhadap kampung halaman kerana buat masa sekarang untuk balik ke Sarawak masih perlu kuarantin 14 hari. Jadi tidak apa, kita berkorban sedikit," katanya yang merupakan seorang anggota tentera dan telah berkhidmat di Semenanjung selama enam tahun.

Sementara itu, Siti Azariah Nasir, 48, berasal dari Pahang berkata dia akan pergi ke pasar itu setiap bulan untuk mendapatkan makanan kegemarannya seperti sayur midin dan juga terung asam.

Pengalaman mengikut suami bertugas di Kuching, Sarawak selama tujuh tahun juga membuatkan suri rumah itu merindui makanan Bumi Kenyalang termasuk kuih-kuih tradisional seperti penyaram selain laksa Sarawak.

Siti Azariah yang fasih berbahasa Melayu Sarawak itu juga mengakui dia ternanti-nantikan musim buah kerana menggemari buah dabai, durian tempatan atau dikenali durian isu, serta buah tarap yang hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak. 

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments