BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

Pasar Borneo : Berniaga online di Desa Mall


SERI KEMBANGAN, 20 Mac (Bernama) -- Peniaga di Pasar Borneo di Seri Kembangan di sini diseru mengambil peluang meluaskan perniagaan mereka secara dalam talian dengan mendaftarkan diri menerusi platform DesaMall@KPLB.

 Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong berkata pasaran bagi barang-barang keperluan dan makanan khas dari Borneo adalah amat meluas dan sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung.

“Jika peniaga di sini meluaskan perniagaan mereka secara dalam talian, mereka akan dapat menjual kepada pembeli dari negeri-negeri lain yang tidak mempunyai pasar seperti ini.

 “Dengan cara ini, mereka juga akan dapat meningkatkan jualan dan pendapatan,” katannya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pasar yang beroperasi setiap Sabtu itu, di sini hari ini. Turut hadir Presiden Persatuan Pasar Borneo Nelson Entap.

Henry berkata program DesaMall@KPLB merupakan inisiatif kementerian berkenaan bertujuan membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.

Sementara itu, Nelson berkata pihaknya terpaksa menolak banyak permohonan untuk berniaga di pasar berkenaan yang telah beroperasi sejak 2016 berikutan, keluasan tapak yang terhad.

“Ketika ini kami hanya mampu menyediakan 60 tapak gerai untuk peniaga kerana kawasan ini agak kecil,” katanya.

Bagi pengunjung, kewujudan pasar itu dianggap sebagai tempat melepaskan kerinduan kepada kampung halaman apabila rata-rata daripada mereka sudah lama tidak dapat pulang ke kampung akibat wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Saliza Zakaria, 43, berkata pasar itu merupakan lokasi pilihannya untuk mencari makanan tradisi  dari Sabah yang digemari suaminya.

“Jika sebelum COVID-19 ini, kami sekeluarga selalu balik ke Sabah tetapi sekarang pasar ini jadi tempat untuk saya beli barang makanan dari Sabah untuk suami,” katanya.

Petinju Muay Thai Sarawak Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya pula berkata beliau sering berkunjung ke pasar itu untuk mencari masakan istimewa Sarawak seperti Ambuyat dan berharap pasar seperti itu dapat diadakan di lebih banyak lokasi.

-- BERNAMA

 

 


« PREV
NEXT »

No comments