Kerjasama UMNO-Bersatu tamat?

 


UMNO-Bersatu bercerai?

UMPAMA pecah menanti sebab, retak menanti belah. Demikian hubungan parti UMNO dan Bersatu apabila UMNO telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, dilakukan setelah mengambil kira pandangan akar umbi.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dilakukan setelah mengadakan pertimbangan dengan cermat serta baik buruknya keberadaan dalam kerajaan, ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu, dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Februar lalu.


“Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu meminta agar UMNO membuat pendirian jelas tentang kedudukan kerjasama dengan parti itu, sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU Ke-15,” katanya.

Berikutan itu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mengadakan mesyuarat pada 19 Februari untuk membincangkan lanjut tentang perkara itu, sebelum sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutuskan surat bagi memaklumkan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya UMNO berpendapat kebersamaan dalam Kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Jelasnya sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang pada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efeksitf, mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

 Sementara itu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, selama lebih dua jam bermesyuarat. 

Mesyuarat yang berlangsung di sebuah hotel di sini antaranya adalah bagi membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan UMNO yang juga rakan kerjasamanya di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Ia susulan surat Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri mengenai keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib-naib Presiden  Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen. 

Hadir sama Ketua Penerangan Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Seri Mustapa Mohamed,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin. 

Hamzah dalam kenyataan dikeluarkan BERNAMA malam ini berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk terus fokus memperkasa gerak kerja dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama itu melibatkan parti dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

Beliau berkata, Bersatu memandang serius kandungan surat dihantar Presiden UMNO bertarikh 26 Feb lalu, kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

“Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Terdahulu, Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden parti itu, di Putrajaya hari ini.

Pada mesyuarat itu, Bersatu turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan kerajaan PN menempuhi setahun mentadbir negara.

Hamzah berkata, dalam tempoh pentadbiran setahun itu, kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti, terutama dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya.

Justeru katanya Bersatu mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqomah, dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN.

UMNO mengutuskan surat kepada Muhyiddin untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan  Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15, namun berpendapat kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

-- BERNAMA


 


Share: