Bot plastik kitar semula pertama di dunia berlayar



Kredit gambar - Faith Matete - The Star, Kenya


NAIROBI, 5 Mac (Bernama) -- Flipflopi, bot yang diperbuat daripada plastik kitar semula pertama di dunia memulakan pelayarannya mengelilingi Tasik Victoria di barat Kenya pada Khamis untuk menyebarkan kesedaran mengenai bahaya bahan tidak terurai kepada alam sekitar.

Dengan disokong kempen laut bersih Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), bot diperbuat daripada 100 peratus plastik kitar semula itu akan belayar menerusi ekspedisi ke tiga negara Afrika Timur, lapor Agensi Berita Xinhua.

Timbalan Pengarah Eksekutif UNEP Joyce Msuya berkata Flipflopi adalah contoh Afrika yang hebat dalam tindakan kitaran ekonomi.

"Pandemik COVID-19 telah mempercepat keperluan untuk menangani pelbagai krisis alam sekitar, yang hanya dapat dilakukan melalui kerjasama serantau dan global mengenai isu-isu utama seperti plastik sekali guna dan perubahan iklim," tambahnya.

Menurut pengasas bersama projek Flipflopi Aki Skanda, bot itu dibina untuk menunjukkan kepada dunia bahawa tidak mustahil menghasilkan bahan berharga daripada sampah plastik.

"Dengan belayar mengelilingi tasik, kami mahu mencetuskan inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan inovasi sampah plastik mereka sendiri dan menerapkan penyelesaian kitaran yang akan membangun perniagaan lebih hijau, serta menyingkirkan plastik dari alam sekitar,” kata Skanda.

Ujar beliau, bersama dengan komuniti di seluruh wilayah Lake Victoria, tujuan pelayaran adalah untuk memberi kesedaran dan penyelesaian inovatif bagi mengatasi pencemaran dan menyokong pemulihan hijau di Afrika Timur.

Dalam tempoh tiga minggu, Flipflopi akan belayar dari Kisumu ke beberapa lokasi di Uganda dan Tanzania, bertemu pemimpin masyarakat, ahli pemuliharaan, ahli perniagaan, dan pembuat dasar sambil meningkatkan kesedaran serta memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menggunakan penyelesaian kitaran bahan buangan untuk mengatasi pencemaran plastik.

-- BERNAMA

Share: