BERITA MUTAKHIR
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

BN rayu Agong titahkan Parlimen bersidang




KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) hari ini merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Seri Paduka Baginda boleh memperkenankan perkara itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen berkenaan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid berkata, sidang Parlimen itu dapat membentangkan perkara termasuk keberkesanan langkah-langkah membendung penularan wabak COVID-19, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021, demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata BN juga mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyatnya supaya menyeru Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah Seri Paduka Baginda supaya sidang Parlimen diadakan segera, lebih-lebih lagi setelah pelaksanaan PKP dilonggarkan.

“Prinsip keluhuran perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar, dalam memastikan semak dan imbang,” katanya.

Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sementara itu Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya membenarkan Parlimen untuk tidak bersidang untuk tempoh lebih enam bulan.

“Perkara 55 Perlembagaan adalah jelas mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong. Ia bukan satu fungsi, ia satu kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan kuasa itu tidak boleh dikompromi,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya juga merayu kepada Yang di-Petuan Agong, untuk menitahkan agar sidang Parlimen diadakan segera.

-- BERNAMA

 


« PREV
NEXT »

No comments