KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak(JHS) memerlukan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk sekolah dalam Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi mewujudkan 'Hutan Bandar' di kawasan bandar.
Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad berkata, ini sejajar dengan visi serta misi jabatan itu dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan untuk kelestarian alam sekitar.
"Banyak program CEPA yang telah dianjurkan oleh JHS bersama-sama guru dan pelajar sekolah dan komuniti tempatan melalui Bahagian Perhutanan Sosial.
"Antaranya taklimat restorasi sumber hutan di SK Ba’kelalan, SK Long
Luping, SK Long Semadoh, Lawas (2016), SK Abang Haji Matahir, SK St. Andrew, Sarikei, SK Melugu, Sri Aman serta SMK Trusan, Lawas pada tahun lalu,"katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Astaka Terbuka Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, di sini, hari ini.
Katanya,banyak lagi sekolah-sekolah yang terlibat sejak pelaksanaan program itu pada tahun 2005 dengan kerjasama pelbagai agensi.
Mengenai astaka terbuka Kolej Abdillah,katanya,perlaksanaan projek itu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM24,000 untuk pembelian bahan-bahan binaan dan sewaan peralatan seperti scarf holding.
"Kerja-kerja baikpulih dan menaiktaraf astaka terbuka ini mengambil masa lebih kurang tiga minggu yang bermula pada 9 November dan telah siap sepenuhnya pada 27 November lalu.
"Permohonan untuk baikpulih dan menaiktaraf astaka terbuka ini telah diterima pada awal bulan Mac 2020,"ujarnya.
Hamden berkata,berikutan pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun ini kerja-kerja baikpulih tersebut terpaksa ditunda sehingga ke bulan November bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.