Covi19 - Apakah menutup sekolah keputusan terbaik?

 




Oleh Nurqalby Mohd Reda & Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR,  23  April (Bernama) -- Apakah mungkin cadangan penutupan semua sekolah buat sementara waktu ketika ini  menjadi wahana pragmatik dalam mengekang peningkatan penularan COVID-19 yang kini dilihat semakin membimbangkan di institusi pendidikan?


Ini antara persoalan yang semakin hangat diperkatakan masyarakat khususnya kalangan ibu bapa mahupun golongan akademik susulan daripada situasi semasa yang telah menyaksikan tercetusnya kluster pendidikan melibatkan guru dan pelajar sekolah sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup. 


Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu laporan media, sebanyak 83 kluster COVID-19 berkaitan sektor pendidikan telah dilaporkan di seluruh negara dari 1 Jan lepas sehingga 20 April  melibatkan 4,868 kes.


Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan sebanyak 49 kluster atau 59.04 peratus dengan 2,617 kes masih aktif, manakala 34 kluster (40.96 peratus) dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.


Berdasarkan data tersebut yang dilihat berisiko, beberapa pihak termasuklah Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) telah menguarkan cadangan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup semua sekolah buat sementara waktu. 


"Berdasarkan respons yang kami terima, majoriti ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah ketika ini kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan. Kebanyakannya, mengharapkan sekolah ditutup,” kata Presiden PIBGN Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan ketika dihubungi Bernama. 


Bagaimanapun, apakah penutupan sementara semua sekolah  merupakan jalan terbaik? Apatah lagi, sekiranya penutupan sekolah ini betul-betul dilaksanakan, sudah pastilah kaedah sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi tunjang pilihan utama dalam memastikan proses pembelajaran berterusan. 


Keadaan ini sebenarnya agak membimbangkan golongan akademik memandangkan hasil kajian sebelum ini mendapati PdPR telah menyebabkan ramai pelajar tercicir dalam pembelajaran. 


Mengulas isu penutupan sekolah ini, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din menyifatkan cadangan tersebut bagi membendung jangkitan COVID-19 dalam kalangan guru dan pelajar, bukan satu penyelesaian terbaik buat masa ini.


Beliau berkata cadangan beberapa pihak termasuk PIBGN berhubung perkara itu juga disifatkan terlalu awal memandangkan ia akan mewujudkan pelbagai masalah termasuklah aspek pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.


‘’Sebelum ini, ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah adalah disebabkan mempunyai ketakutan dan kebimbangan melampau. Mereka takut sebab kurang maklumat berhubung kes itu sendiri. Adakah kes itu serius? Adakah COVID-19 ini akan mengancam nyawa dan mengganggu tumbesaran anak-anak mereka?


‘’Guru-guru pula untuk hadir ke sekolah atau tidak, bergantung kepada keadaan guru atau jawatan guru itu tersebut,’’ katanya.


Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata sekiranya penutupan sekolah dibuat dan digantikan dengan kaedah PdPR seperti yang diterapkan sebelum ini, ia dilihat akan mewujudkan keterbatasan dalam sesi pembelajaran pelajar.


 ‘’Apabila belajar di rumah, pelajar ini berhadapan ibu bapa yang tiada ilmu atau kemahiran mengajar. Mereka ini terkial-kial dan cuba mengajar yang mana kesannya akan menyebabkan mereka tertekan.


“Kerana itu pengajaran secara bersemuka diutamakan kerana guru-guru yang mengajar adalah terlatih dengan pengalaman mengajar yang luas dan menjadi satu kerugian jika tidak digunakan kelebihan profesionalisme guru itu sepenuhnya,” katanya,


Kerana itu, Mohamed Fadzil berpandangan tiada keperluan untuk menutup kesemua sekolah sekiranya jumlah mereka yang berisiko adalah rendah.


‘’Kalau kita lihat data KKM (Kementerian Kesihatan)  dalam setiap 10 kelas hanya ada satu kelas yang tercemar, jadi tidak perlu nak tutup keseluruhan kelas di sekolah berkenaan.


‘’Kita juga boleh menggunakan pendekatan berkongsi sekolah. Contohnya, sekiranya sekolah A itu terjejas dan perlu ditutup untuk tujuan sanitasi, mungkin kita boleh gunakan sekolah B iaitu sekolah berhampiran untuk menumpangkan pelajar sekolah A, yang mereka ini boleh turut serta belajar,’’ katanya.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata peningkatan kes jangkitan COVID-19 dijangka dapat dikurangkan sekiranya jumlah sekolah yang dibuka, dihadkan.


Jelasnya pilihan paling munasabah dalam menghadkan bilangan sekolah adalah dengan menutup sekolah menengah kerana mereka boleh mengikuti  PdPR secara lebih berkesan berbanding murid sekolah rendah.  


Azlin Norhaini berkata terdapat 7,780 sekolah rendah dan 2,440 sekolah menengah pada masa ini yang membabitkan  anggaran 2.7 juta murid rendah dan 2 juta murid menengah.


Sekiranya PdPR dilaksanakan kembali,  KPM  katanya  perlu menggunakan Buku Panduan PdPR 1.0 kerana ia lebih sesuai dengan jadual persekolahan secara dalam talian yang tidak terlalu membebankan guru serta membolehkan pelajar menguasai subjek yang diajar.


 “Walaupun telah mendapat vaksin, belum tentu keadaan akan kembali seperti dahulu.  Amalan memakai pelitup muka dan mencuci tangan  serta pematuhan SOP dijangka kekal menjadi sebahagian daripada amalan hidup termasuk di sekolah,’’ katanya.


-- BERNAMA

Penjual kuih didakwa bunuh polis

 




GEORGE TOWN, 23 April (Bernama) -- Seorang penjual kuih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis, minggu lepas.


Mohd Arafat Taufik, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, Mohd Arafat didakwa menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan melanggar motosikal yang dinaiki Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan sehingga mangsa terjatuh dan meninggal dunia di Jalan Utama, antara 1 hingga 2 pagi, 17 April lepas.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan 23 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu proses dokumentasi.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam G. Shanmugam.


Pada 18 April lepas, media melaporkan Muhammad Iqbal yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah maut ketika mengejar suspek, selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar suspek dan terbabas, menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada pembahagi jalan.


-- BERNAMA


 

Sarawak dibenarkan beli vaksin sendiri

 


 

KUCHING, 23 April (Bernama) -- Kerajaan persekutuan telah meluluskan permintaan kerajaan negeri Sarawak untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi kegunaan rakyatnya, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata kelulusan itu diberi susulan pertemuan beliau dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin di Putrajaya, baru-baru ini.


Sehubungan it katanya Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) telah diberi tanggungjawab melakukan perbincangan dengan pembekal vaksin bagi tujuan tersebut.


“… jadi kita sekarang sedang berbincang dengan pihak dan badan berkaitan supaya kita boleh menyelesaikan pembelian vaksin yang akan digunakan sebagai simpanan sekiranya ada masalah pembekalan dari Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini hari ini.


Seramai 1,278 individu daripada golongan berisiko tinggi dan warga emas berusia lebih 60 tahun dijadualkan menerima suntikan vaksin di stadium tersebut hari ini.


Pada 18 Mac lepas, Uggah dilaporkan berkata Sarawak telah menghantar surat kepada kerajaan persekutuan mengenai hasrat Sarawak untuk membeli sendiri vaksin COVID-19 bagi negeri itu.


Sementara itu, mengulas mengenai pendaftaran Program Imunisasi negeri Sarawak, Uggah berharap kerajaan persekutuan boleh menerima pendaftaran secara manual yang melibatkan penduduk di luar bandar.


Katanya kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak tidak mempunyai kemudahan telefon pintar untuk melakukan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera dan hanya boleh mendaftar melalui pejabat residen dan daerah.


“Kita juga ada meminta mereka yang berada di luar bandar untuk mendaftar menggunakan telefon milik pejabat daerah atau residen. Apabila mereka menerima janji temu untuk divaksin, maka pegawai di pejabat berkenaan akan menghubungi penerima itu,” katanya.


Seramai 929,435 individu disasarkan menerima vaksin bagi Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak yang bermula Isnin lepas.


-- BERNAMA


 



Penganggur didakwa tukul kepala penghantar makanan

 




GEORGE TOWN, 23 April (Bernama) -- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul seorang penghantar makanan dengan penukul hingga menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, Muhammad Aslam Hashim, 31, didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Koay Eng Tat, 40, dengan cara memukul kepala mangsa menggunakan sebatang penukul besi di Blok P, Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua, Gelugor di sini kira-kira 4 petang, 20 April lalu.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Jamaliah Abd Manap membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei untuk sebutan kes bagi penyediaan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan.

-- BERNAMA


3 juta terkorban, AS catat 566,224 kes kematian

Lebih daripada tiga juta orang di seluruh dunia telah meninggal dunia akibat Covid-19 sejak bermulanya wabak melanda dunia.

Johns Hopkins University melaporkan, Amerika Syarikat mencatatkan 566,224 kes kematian, diikuti Brazil dengan 368,749 dan Mexico dengan 211,693 kes kematian.

Manakala, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, wabak itu berada pada "titik kritikal" dan memberi amaran bahawa dunia memerlukan pemeriksaan realiti.

"Selepas penurunan yang singkat pada bulan Mac, jumlah kematian di seluruh dunia meningkat lagi, dengan purata kira-kira 12,000 kematian, menghampiri 14,500 jumlah kematian setiap hari (purata 7 hari) yang dicatatkan pada akhir Januari.

"Negara-negara seperti AS dan UK telah menyaksikan jumlah kematian harian baru mereka menurun sejak akhir Januari kerana kempen vaksinasi, sedangkan India dan Brazil menghadapi lonjakan jangkitan yang belum pernah terjadi sebelumnya. 

"Di Brazil, kira-kira 3,000 kematian dilaporkan setiap hari, menyumbang hampir satu perempat daripada kematian yang dilaporkan setiap hari di dunia.

"Negara ini telah dilanda paling teruk di dunia berkaitan kematian harian baharu di peringkat global sejak awal Mac," katanya.

Wabak Covid-19 juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, kerana purata 7 hari menjelang musim panas sepanjang Januari - lebih dari 730,000 kes baru setiap hari dilaporkan minggu ini.

Dengan 234,692 jangkitan baru dilaporkan pada hari Sabtu, India hampir tiga kali ganda kes harian AS. 

Manakala, minggu lalu Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China mengakui vaksin di negara ini menawarkan perlindungan yang rendah.

Beliau berkata, pegawai mempertimbangkan untuk mencampurkannya dengan suntikan lain untuk meningkatkan keberkesanan.

Sasar 50,000 suntikan setiap hari





KUCHING: Sarawak menyasarkan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 50,000 individu sehari.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pihaknya menunggu maklum balas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai keutamaan pemberian vaksin untuk kawasan merah di negeri ini.

Katanya, program vaksinasi kepada lebih 2.2 juta rakyat yang layak menjelang Ogos termasuk melibatkan masing-masing sejuta dos vaksin pada Jun dan Julai.
 
“Kami berharap keutamaan akan diberikan dalam pembahagian kuota vaksin dalam fasa dua ini.

"Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan CITF dan KKM dalam pemberian vaksin kepada rakyat serta melaksanakan dengan secepat mungkin," katanya.

Malaysia dijangka menerima sejumlah 12.5 juta dos vaksin daripada pengeluar yang berbeza menjelang suku kedua tahun ini yang bermula April hingga Jun.

Pemberian fasa kedua vaksin di negara ini merangkumi vaksin Pfizer, Sinovac, AstraZeneca dan Casino yang masih menunggu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebanyak 12.5 juta vaksin tersebut adalah untuk lapan juta rakyat Malaysia, manakala 15 juta dos tambahan lagi untuk fasa ketiga yang bermula Julai hingga September dengan negara menyasarkan sejumlah 28 juta rakyat menerima vaksin.

10 peratus anggota polis dibenar cuti

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, hanya 10 peratus anggota dibenarkan cuti bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Tegasnya, anggota juga dibenarkan bercuti serta menyambut Hari Raya di daerah masing-masing.

Katanya, mereka yang bercuti juga tidak dibenarkan merentas daerah kerana larangan merentas zon masih berkuat kuasa.

"Larangan ini juga termasuk mereka yang bertugas di Semenanjung Malaysia. Ini kerana, arahan merentas negeri masih belum diluluskan," katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya Gawai 2021 semalam.

Beliau berkata, kompaun jika mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) juga boleh dikeluarkan mana-mana agensi yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).